Sunday, June 14, 2009

ISU-ISU DALAM KELOMPOK KAUNSELING

1.0 PENGENALAN

Sesi kaunseling kelompok akan lebih berkesan dan berjaya jika tujuan, matlamat dan proses kaunseling kelompok itu jelas dan difahami oleh ahli kelompok. Peranan Ketua Kelompok atau Pemimpin kelompok amat penting dan mampu mempengaruhi keberkesanan sesuatu kelompok kaunseling. Keberkesanan sesuatu kelompok kaunseling bermula di peringkat pemilihan ahli kelompok untuk mempastikan semua ahli boleh menerima peraturan dan etika kelompok. Gandingan kedua-dua pihak iaitu pemimpin kelompok dan ahli-ahli yang faham etika dan peraturan kelompok akan membantu ke arah pencapaian matlamat sesi kaunseling kelompok. Kelompok kaunseling adalah bebas untuk berkembang tetapi masih bergantung kepada jenis masalah atau isu yang dibincangkan. Namun ia perlu mengambil kira aspek-aspek nilai, norma serta budaya masyarakat setempat.
Di sinilah letaknya peranan pemimpin kelompok untuk mempastikan semua ahli kelompok dapat menerima persetujuan ini dan pada masa yang sama berusaha dengan sedaya upaya untuk mencapai matlamat sesi kaunseling kelompok yang dijalankan. Pemimpin kelompok juga berperanan penting untuk menentukan ahli-ahli kelompok berjaya mencapai hasrat pemulihan diri mereka. Ahli-ahli kelompok juga berjaya melakukan perubahan tingkah laku mereka ke arah yang lebih positif setelah selesai menjalani sesi kelompok kaunseling.
Secara semulajadinya manusia lebih bersedia bersama dalam kumpulan atau kelompok dalam usaha menyelesaikan permasalahan yang mereka hadapi. Melalui kelompok, seseorang individu dapat mencapai matlamat sendiri dengan berkongsi idea yang inovatif dan produktif (McClure, 1990). Manusia mungkin tidak dapat meneruskan kehidupan atau terus berkembang tanpa penglibatan kelompok atau kumpulan. Dalam usaha menjadikan kelompok kaunseling lebih berkesan, pemimpin kelompok perlu sedar tentang kekuatan dan potensi sesebuah kelompok. Pemimpin kelompok perlu merancang lebih awal dan sentiasa peka kepada tahap-tahap perkembangan kelompok. Pemimpin kelompok yang mempunyai pengetahuan mampu mengesan tahap perkembangan kelompok berkenaan. Di samping itu juga, pemimpin kelompok boleh memanafaatkan kemahiran yang ada untuk membantu perkembangan kelompok dengan lancar dan berkesan (Gladding, 1994). Hakikatnya, perancangan yang rapi dan intervensi yang strategik akan menjamin kejayaan sesebuah kelompok kaunseling.








2.0 ISU-ISU BERKAITAN KEPIMPINAN DALAM KAUNSELING KELOMPOK
Dalam kertas kerja ini kami membahagikan isu-isu berkaitan kepimpinan dalam kelompok tersebut kepada 3 bahagian iaitu isu-isu sebelum permulaan kelompok (initial stages), isu-isu semasa proses kelompok (progressing stages) dan isu-isu selepas kelompok (closing stages).

2.1 Isu-isu sebelum permulaan kelompok (Initial Stages)
2.1.1 Persediaan Pemimpin Kelompok
Selain itu pemimpin kelompok juga perlu bersedia untuk menjadi pemimpin kelompok lebih-lebih lagi persediaan dari segi psikologikal. Antara persediaan yang perlu ditanya bagi seorang pemimpin kelompok ialah :
1. Adakah saya sudah bersedia untuk mengendalikan sebuah kelompok?
2. Adakah saya mahu kendalikan kelompok?
3. Apakah perasaan yang saya sedang alami dalam hidup?
4. Adakah saya seorang yang yakin dengan kemampuan profesional saya?
5. Adakah saya percaya kepada proses kelompok?
Persoalan-persoalan tersebut adalah merupakan isu yang perlu ditangani oleh seseorang pemimpin apabila ingin memulakan sesuatu kelompok. Ia akan dapat membantu pemimpin menilai sejauh mana persediaan mereka untuk memimpin sesebuah kelompok. Corey (1985) menyatakan sebagai persediaan, pemimpin harus memikirkan beberapa perkara mengenai kelompok iaitu jenis kelompok, tujuan dan matlamat kelompok, masa dan tempat kelompok, apa yang ahli jangkakan dari kelompok, garis panduan untuk menentukan siapakah yang sesuai untuk menyertai kelompok dan yuran yang dikenakan. Oleh yang demikian pemimpin kelompok memainkan peranan untuk merancang perjalanan kelompok dengan sebaik mungkin.
Ya’qub (2001) menyatakan dalam pendekatan kelompok Islam persediaan pemimpin memainkan peranan penting dalam menggerakkan kelompok. Antara persediaan yang perlu dilakukan oleh pemimpin yang mengendalikan kelompok Islam ialah pemimpin harus memastikan hari-hari, masa dan tempat kelompok dijalankan, ditetapkan terlebih dahulu dan dimaklumkan kepada semua ahli bagi memudahkan ahli berkumpul tepat pada waktunya. Selain itu pemimpin juga bertanggungjawab menyediakan bahan aktiviti untuk kelompok berbentuk arahan-arahan kerja sebagai latihan bagi memdidik dan membiasakan setiap ahli memikul tanggungjawab. Pemimpin juga perlu menyediakan bahan-bahan rujukan yang sesuai dan fakta-fakta yang tepat kepada ahli kelompok, ini adalah bagi memudahkan ahli kelompok membuat rujukan yang tepat dan betul. Di samping itu pemimpin kelompok juga perlu menyediakan isi kandungan perjalanan kelompok mengikut sukatan dan arahan-arahan yang jelas kepada ahli-ahli kelompok.

2.1.2 Tapisan (Screening) dan hak ahli
Menurut ACA (1995), pemimpin kelompok harus menapis ahli mereka yang bakal sertai kelompok setakat mana yang boleh. Individu yang ingin menjadi ahli kelompok perlu ditapis bagi mengelakkan risiko sepanjang berada dalam kelompok. Dalam proses tapisan ini pemimpin kelompok terlebih dahulu perlu tahu siapa yang patut menjadi ahli kelompok. Ahli-ahli kelompok boleh ditapis dengan beberapa cara iaitu :
1. Kenalpasti kesesuaian ahli dengan tujuan kelompok ditubuhkan.
2. Kenalpasti dari mana ahli-ahli kelompok datang. Contohnya hospital, banduan, ahli masyarakat, sekolah dan sebagainya.
3. Tentukan samada ahli datang secara sukarela atau dirujuk.
4. Tentukan komposisi kelompok mengikut gender, umur, tahap kelulusan akademik dan sebagainya.
Dalam peringkat tapisan ini pemimpin kelompok harus memilih ahli yang mempunyai keperluan dan tujuan yang sehaluan dengan tujuan kelompok. Ini bagi mengelakkan timbul konflik dan halangan semasa proses kelompok dan juga supaya ahli yang menyertai kelompok tidak mengalami sebarang risiko dan kebajikan mereka tidak diabaikan.
Pemimpin kelompok juga perlu mengenalpasti kesediaan individu untuk menjadi ahli kelompok. Ini adalah bagi mengelakkan penentangan (resistance) yang berpunca daripada ketidakfahaman proses kelompok dan salah faham mengenai tujuan kelompok. Seseorang pemimpin perlu jelas tentang pengharapan ahli terhadap kelompok dan pemimpin juga perlu menjelaskan tujuan kelompok, prosedur kelompok, kebaikan dan risiko menyertai kelompok. Antara risiko yang perlu diketahui oleh ahli apabila menyertai kelompok ialah :
1. Ahli mungkin mengalami gangguan ke atas kehidupannya apabila menyertai kelompok.
2. Ahli sering dikehendaki terbuka dan ini boleh merupakan perlanggaran privacy.
3. Tekanan dari kelompok contohnya dalam merubah sikap dan pemikiran.
4. Masalah scape goating iaitu mencari salah pada seseorang dalam kelompok tersebut.
5. Perbincangan dalam kelompok tidak terjamin kerahsiaannya.
6. Kemungkinan kecederaan fizikal kerana penglibatan dalam aktiviti kelompok.
7. Risiko psikologikal contohnya jika ada ahli yang memberitahu ingin bunuh diri kemungkinan akan memberi kesan psikologikal kepada ahli kelompok.
Pemimpin kelompok juga perlu terlebih dahulu mendapatkan persetujuan termaklum dengan ahli-ahli kelompok (informed consent) samada datang secara sukarela atau dirujuk.
Selain itu hak-hak ahli kelompok yang perlu diambil kira oleh pemimpin kelompok ialah berkaitan ahli meninggalkan kelompok. Ahli-ahli adalah bebas meninggalkan kelompok namun perlu dimaklumkan apa prosedur yang perlu dilakukan sebelum meninggalkan kelompok. Setiap ahli yang ingin meninggalkan kelompok perlu mendapat persetujuan ahli-ahli kelompok yang lain. Yalom (1995) menyatakan seseorang boleh meninggalkan kelompok atas persetujuan ahli kelompok yang lain. Beberapa sebab ahli bertindak meninggalkan kelompok iaitu :
1. Tekanan
2. Berpindah
3. Penyakit
Ahli-ahli kelompok berhak mengeluarkan ahli dari kelompok jika ahli tersebut boleh mengancam keselamatan dan membahayakan ahli-ahli yang lain. Dalam keadaan ini pemimpin harus menangani situasi ini dengan sebaik mungkin bagi menjamin keputusan yang dibuat adalah beretika dan tidak menganiayai mana-mana pihak.

2.1.3 Kelayakan dan Kemampuan Pemimpin Kelompok (Kaunselor)
Kemampuan dan kelayakan kaunselor yang memainkan peranan sebagai ketua kelompok atau pemimpin kelompok kaunseling tidak lepas dari menjadi persoalan kepada pengamal kaunseling di Malaysia. Perkembangan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di Malaysia menyaksikan pelbagai pihak sama ada secara individu atau kumpulan tertentu mula mengambil kesempatan menawarkan perkhidmatan menolong ini. Individu dan kumpulan yang muncul atas jenama konsultan dan ’pakar motivasi’ bercambah dengan pesat menawarkan berbagai perkhidmatan yang melibatkan individu dan juga kelompok orang ramai.
Iklan-iklan perkhidmatan mereka sering kelihatan saban waktu cuti persekolahan dan telah menarik minat orang ramai terutamanya ibubapa yang inginkan anak mereka cemerlang. Persoalan yang timbul ialah bagaimana golongan ini boleh menjalankan aktiviti-aktiviti mereka dengan sewenang-wenangnya? Malah, ketua kelompok yang tidak terlatih dalam bidang pengendalian kelompok kaunseling juga menjalankan sesi terapi keluarga. Nilai-nilai yang dititikberatkan oleh golongan ini ialah pendedahan emosi dan konfrantasi yang mendalam. Manakala aktiviti susulan untuk mengesan tahap keberkesanan kelompok tidak dilakukan langsung. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya masalah yang tidak selesai atau ’unfinished bussiness’ di kalangan ahli kelompok. Kesan yang lebih buruk lagi akan melanda ahli-ahli dalam kelompok kaunseling kerana bilangan mereka ramai.
Mengikut AMFT (American Mariage & Family Therapy) 1991, seorang kaunselor yang menjadi pemimpin kelompok kaunseling tidak boleh membuat penilaian atau diagnosis dalam kes-kes psikosis, merawat dan memberi nasihat tentang masalah yang di luar kemampuan dan kecekapan yang diikhtiraf.
Manakala menurut ACA (American Counseling Associattion) 1995, kaunselor atau pemimpin kelompok kaunseling hanya boleh mempraktikkan kemahiran dan latihan yang setara dengan kelayakannya.
Menurut Zuraidah (1996), terdapat ketua kelompok atau pemimpin kelompok yang tidak terlatih tetapi mengendalikan terapi keluarga malah menggunakan hipnosis terhadap ahli kelompok. Kepakaran mengendalikan kelompok kaunseling tidak akan mencapai matlamat jika pemimpin kelompok hanya bersandarkan kepada ijazah yang di perolehi semata-mata. Pengendalian kelompok kaunseling berkesan adalah berdasarkan kepada latihan dan sejauh mana pengalaman seseorang pemimpin kelompok.
Jacobs, Harvill dan Masson (1994) menyenaraikan jenis-jenis kelayakan dan pengalaman yang perlu ada pada pemimpin kelompok ialah :
1. Mempunyai pengetahuan yang baik berkaitan teori-toeri kaunseling.
2. Berpengalaman dengan individu.
3. Berpengalaman menjalani dan mengendalikan kelompok.
4. Mempunyai kemahiran merancang dan mengatur.
5. Berpengetahuan berkaitan topik yang dibincangkan
6. Mampu memahami konflik dan dilema asas manusia.
Kelayakan dan pengalaman ini akan banyak membantu pemimpin untuk menggerakkan kelompok dengan memainkan fungsinya dengan berkesan.
Begitu juga seorang pemimpin perlu tahu akan limitasi bidang kepakarannya. Limitasi adalah merupakan batas-batas kemampuan dan keyakinan yang mampu dilakukan berdasarkan pengalaman dan kelayakan yang ada pada seseorang pemimpin.

2.1.4 Isu Co-leader
Seorang pemimpin kelompok juga perlu memikirkan sama ada ingin menjalankan kelompok itu secara berseorangan atau dengan dibantu oleh seorang pembantu. Penggunaan co-leader ini ada unsur-unsur pro dan kontranya.
Bagi pemimpin yang ingin dibantu oleh co-leader maka kelompok tersebut telah mendapat kelebihan dari segi kepakaran dan tenaga. Contohnya jika pemimpin tidak dapat hadir pembantu pemimpin boleh mengambil alih peranan pemimpin dan dengan itu proses kelompok tetap akan berjalan tanpa adanya kekangan dan sebagai. Jacobs, Mason & Harvill (2002) menyatakan memimpin kelompok dengan lebih dari seorang pemimpin akan memberi banyak kelebihan terutamanya kepada pemimpin yang baru. Co-leader boleh menyumbangkan idea-idea tambahan untuk merancang dan menjadikan kelompok lebih efektif.
Namun beberapa kelemahan apabila ada co-leader ialah kemungkinan berlaku percanggahan cara dan pendekatan dalam memimpin kelompok. Ini kerana co-leader mungkin mempunyai pandangan yang berbeza dengan pemimpin terhadap kelompok.
Oleh yang demikian pemilihan co-leader perlu berhati-hati agar pemilihannya sesuai dengan tujuan dan hala tuju kelompok.

2.2 Isu-isu Semasa Proses Kelompok Berjalan (Progressing Stages)
2.2.1 Gaya Kepimpinan Pemimpin Kelompok
Gaya kepimpinan yang dipraktikkan oleh seseorang pemimpin kelompok menjadi faktor penting kepada keberkesanan kaunseling kelompok. Di antara gaya kepimpinan umum ialah gaya autokratik, demokratik, dan laissez-faire (bebas). Pemimpin kelompok sebagai individu yang normal telah terdidik dengan pandangan dan gaya berfikir tersendiri. Begitu juga dengan gaya kepimpinan seorang pemimpin kelompok.
Pemimpin yang mengamalkan gaya autokratik akan cenderung menggunakan pertimbangan sendiri dalam menentukan proses kelompok. Biasanya mereka bersifat mengarah, memberi nasihat, melakukan pentaksiran secara aktif, memonopoli perbincangan dalam kelompok dari aspek komunikasi, keputusan dan sebagainya. Pemimpin yang memiliki gaya ini mempunyai karisma dan berpengaruh serta mereka akan menjadi ikutan kepada ahli kerana mereka mampu memberikan arahan dengan berkesan.
Bagi pemimpin kelompok yang mengamalkan gaya demokratik pula mereka percaya bahawa setiap ahli mampu bergerak sendiri dan dapat menyumbang secara aktif kepada perjalanan kelompok. Pemimpin jenis ini biasanya tidak bersifat mengarah tetapi lebih kepada bentuk kerjasama dalam apa sahaja tindakan dan keputusan yang dibuat dalam kelompok. Pemimpin yang memiliki gaya ini akan dapat menerapkan rasa seronok dan rasa dihargai dalam kalangan ahli kelompok.
Seterusnya gaya kepimpinan laissez faire pula lebih kepada pemimpin membiarkan kelompok bergerak dengan sendiri. Pemimpin gaya ini memberi sepenuhnya tanggungjawab merancang, mengendali, menjalankan aktiviti dan membuat keputusan tanpa bantuan pemimpin. Akibatnya kelompok yang wujud tidak mempunyai struktur yang jelas dan peranan pemimpin tiada langsung. Kemugkinan yang berlaku, kelompok ini akan wujud ahli-ahli yang mendominasi kelompok dan ada juga ahli yang tidak aktif langsung.
Sesungguhnya gaya kepimpinan dalam kelompok mendatangkan kesan kepada ahli kelompok, namun jika gaya tersebut digabungkan mengikut kesesuaian masa, jenis kelompok, teori yang digunakan dan hasil yang diingini maka ia akan dapat menghasilkan kelompok yang dinamik dan efektif.

2.2.2 Personaliti Pemimpin Kelompok
Pemimpin kelompok yang berkesan sudah semestinya harus mempunyai personaliti yang mampu menarik penghormatan dan kepercayaan setiap ahli kelompok. Menurut Corey (2002), pemimpin adalah orang yang paling signifikan dalam memastikan sama ada kelompok itu berjaya atau gagal. Dalam hal ini Corey menyatakan personaliti seseorang pemimpin memainkan peranan penting untuk menjayakan sesuatu kelompok. Antara ciri-ciri personaliti pemimpin yang perlu ialah berani, bersedia sebagai model, mengambil berat, percaya dengan proses kelompok, terbuka, kuasa peribadi, stamina, kesedaran kendiri, unsur humor, terbuka, ’presence’, bersedia untuk dikritik, sensitif pada kepelbagaian budaya, berkemahuan untuk belajar pengalaman baru, dan komitmen yang tinggi.
Jacobs (2001) menyatakan personaliti yang perlu ada pada pemimpin ialah mengambil berat, terbuka, fleksibel, bersemangat, objektif, dipercayai, jujur, kekuatan, sabar dan sensitif, suka pada manusia, selesa untuk memimpin, yakin untuk memimpin dan empati.
Kottler (1994) pemimpin yang berkesan perlu mempunyai ciri-ciri peribadi seperti boleh dipercayai dan boleh menyimpan rahsia, memiliki keyakinan diri, menerima diri sendiri dan bersikap terbuka, berani mengambil risiko, kreatif, memiliki disiplin diri yang tinggi, bersemangat, bebas daripada perasaan negatif, memiliki perasaan belas kasihan, memiliki sifat humor, berkarisma, memiliki kelenturan, sensitif pada kepelbagaian individu dan budaya serta mesra dan terbuka.
Sementara itu dalam pendekatan Islam personaliti pemimpin kelompok adalah begitu dititik beratkan. Personaliti seorang pemimpin Islam harus mempunyai sifat-sifat dan ciri-ciri kenabian. Dengan adanya sifat kenabian itu seseorang pemimpin boleh memainkan peranan yang berkesan. Sifat-sifat yang perlu ada pada seorang pemimpin ialah sidiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana).
Mohamed Sharif (1998) telah membincangkan sifat-sifat utama yang perlu ada pada seorang pemimpin Islam ialah beriman dan bertakwa kepada Allah, jujur dan ikhlas, benar (sidiq), berani, adil, pemurah dan ramah, sabar dan tenang, beradab dan berakhlak, percakapan yang baik, tidak munafik dan menepati janji.
1. Beriman dan bertakwa kepada Allah
Beriman dan bertakwa kepada Allah adalah merupakan asas peribadi yang mampu membentuk personaliti mulia seseorang manusia. Dengan iman dan taqwa yang teguh seseorang pemimpin akan mempunyai keyakinan yang teguh dalam menjalankan proses tolong bantu.

2. Jujur dan Ikhlas
Jujur dan ikhlas bermaksud bertutur atau memberitahu atau membuat sesuatu dengan sebenarnya. Islam begitu mengambil berat soal kejujuran dan keikhlasan tidak kira dari segi pertuturan, pemikiran dan perlakuan. Seseorang itu perlu jujur pada diri sendiri dan juga kepada ahli-ahli dalam kelompoknya.

3. Benar (Sidiq)
Sifat pemimpin juga harus benar dalam percakapan dan perbuatan. Benar dalam percakapan ialah berterus terang dan tidak menokok tambah apa saja yang didengari.

4. Berani
Berani iaitu berani kerana Allah dan berani kerana hak. Sebagai pemimpin harus ada keberanian untuk menegakkan yang hak dan menentang yang batil. Dalam kelompok kemungkinan akan timbul percanggahan nilai, moral dan pemikiran. Oleh sebagai pemimpin Islam harus berani untuk menyatakan yang hak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam.

5. Adil
Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Pemimpin dituntut berlaku adil dalam berbicara, mengambil tindakan dan membuat keputusan. Sikap dan personaliti pemimpin yang adil menjadikan ahli kelompok berasa puas hati, dihargai dan dihormati.

6. Pemurah dan ramah
Sifat pemurah dan ramah adalah intipati kepada membina perhubungan yang jelekit. Seorang pemimpin yang pemurah dan ramah iaitu kaya dengan senyuman, air muka yang manis, tutur kata yang lembut dan sopan akan membuatkan ahli kelompok rasa dihargai.
7. Sabar dan tenang
Seorang pemimpin yang memiliki sifat ini akan dapat mengawal emosi dan keadaan jika timbulnya sebarang masalah, ketegangan dan konflik. Sifat sabar dan tenang mampu mengawal seseorang itu bertindak diluar batasan dan mampu untuk merancang sebarang tindakan dengan penuh hikmah.

8. Adab dan akhlak
Adab dan akhlak yang baik akan dapat membina pergaulan yang yang baik. Bagi seseorang yang beradab dan berakhlak ialah mereka tidak berdendam, boleh memaafkan kesalahan orang lain dan menghormati orang lain. Adab dan akhlak pemimpin dalam kelompok akan dapat menjalin ukhuwah yang mesra dengan ahli-ahli kelompok.

9. Percakapan yang baik
Sebagai pemimpin Islam percakapan yang baik adalah melambang keperibadian dan personaliti seseorang inidividu. Ini kerana melalui percakapan boleh menarik hati orang yang mendengar serta dapat menimbulkan interaksi yang mesra dan harmoni.

10. Tidak Munafik
Munafik ialah seseorang yang suka berbohong iaitu banyak berpura-pura dan hipokrit. Seorang pemimpin dalam Islam adalah merupakan model yang paling berkesan dan ahli-ahli kelompok akan menilai setiap perkataan dan perbuatan seseorang pemimpin itu lebih-lebih lagi masyarakat kita yang terkenal dengan budaya ketimuran.

11. Menepati Janji
Islam amat menitik beratkan soal menepati janji. Janji adalah satu lafaz yang perlu lahir dari hati suci bersih untuk melaksanakannya. Dalam pengendalian kelompok seseorang pemimpin perlu menepati sebarang janji yang telah dilafazkan contohnya dari segi ketepatan masa perjumpaan, tindakan dan sebagainya.

2.2.3 Isu Kerahsiaan
Menurut Gladding, (2003) kerahsiaan adalah hak ahli mendedahkan pemikiran, perasaan dan maklumat peribadi kepada pemimpin dan ahli kelompok yang lain dan mengharapkan supaya maklumat itu tidak didedahkan kepada individu lain di luar kelompok. Semua ahli kelompok mengharapkan kelompok ini memberi peluang untuk berkongsi masalah dan yakin masalah ini tidak akan dikongsi oleh orang lain, melainkan ia menggugat keselamatan dan kesejahteraan individu ataupun orang ramai (Gazda dan rakan-rakan 2001).
Menurut Jacobs, Masson dan Harvill, (2002) terdapat dua isu berkenaan kerahsian iaitu pemimpin kelompok perlu bertanggungjawab untuk menyimpan kerahsiaan isu kelompok dan pemimpin kelompok tidak mempunyai sepenuh jaminan dalam memastikan ahli kelompok untuk merahsiakan isu yang dibincangkan. Kerahsiaan adalah berasaskan kepercayaan ahli kepada pemimpin dan ahli kelompok yang lain. Adalah penting bagi menekankan etika kerahsiaan kepada semua ahli kelompok yang berpotensi (Corey dan Callanan, 1998). Mereka diharapkan menjaga kerahsiaan sebagai cara bagi mewujudkan kepercayaan, kejelekitan dan perkembangan dalam kelompok. Dari segi kerahsiaan ini terdapat tiga isu utama yang sering ditekankan :
• Pemimpin mempunyai tanggugjawab etika bagi memastikan etika dan kerahsiaan bahan dan maklumat kelompok.
• Pemimpin kekurangan kawalan atas kerahsiaan bahan dan maklumat yang dibincang dalam kelompok.
• Ahli perlu diberi kesedaran berkaitan kepentingan menjaga kerahsiaan sesi walaupun mereka tidak tertakluk sepenuhnya kepada etika kerahsiaan.
Pemimpin kelompok perlu menjamin kerahsiaan daripada semua pihak luaran kecuali apabila pendedahan diperlukan daripada segi undang-undang iaitu melibatkan bahaya yang jelas dan nyata kepada keselamatan ahli ataupun orang lain. Pemimpin kelompok tidak dapat menjamin kerahsiaan penuh kerana ahli kelompok bebas berbincang dengan sesiapa saja di luar sesi walaupun telah dibuat penstrukturan.
Corey (1990) mencadangkan cara yang terbaik bagi menggelakkan pembocoran rahsia adalah dengan membincangkan isu yang timbul di dalam kelompok sekiranya perlu. Pemimpin kelompok perlu peka dalam isu kerahsiaan ini dan jika mengesyaki ahli melanggar etika kerahsiaan maka tugas pemimpin kelompok adalah membawa isu ini ke dalam kelompok.
Walaupun pemimpin kelompok dapat menjanjikan dan menjamin kerahsiaan antara ahli, ini belum tentu dapat memastikan ahli kelompok berkongsi isu kelompok dengan orang lain (Gazda dan rakan-rakan, 2001).
Dalam konteks ini pemimpin kelompok perlu peka dan melaksanakan perstrukturan yang jelas untuk memastikan kerahsiaan ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya oleh ahli. Tugas pemimpin kelompok bukan sahaja untuk memastikan tanggungjawab kerahsiaan ini dilaksanakan, malah perlu peka untuk membawa isu kerahsiaan ini ke dalam kelompok jikalau dirasakan ahli kelompok melanggar etika kerahsiaan. Pemimipin kelompok perlu mewujudkan suasana kerahsiaan ini sentiasa dititikberatkan untuk menjamin kepercayaan bagi setiap ahli.
Di dalam Islam telah menekan bahawa setiap individu perlu menjaga rahsia ataupun keaiban saudara-mara dan sahabatnya. Ini secara tidak langsung dapat memberi satu panduan dan ikutan kepada pemimpin mahupun ahli kelompok untuk sentiasa menjaga etika kerahsiaan kelompok.

2.2.4 Isu Malpractice atau Salah Amalan
Isu malpractice ataupun salah amalan ini perlu diambil perhatian oleh semua pemimpin kelompok. Menurut Corey (2004) pemimpin kelompok perlu mengamalkan kod dan etika yang telah ditetapkan dan perlu mematuhi piawai yang sah. Tindakan undang-undang dapat dikenakan ke atas pemimpin kelompok sekiranya ahli melaporkan mereka mengalami kecederaan fizikal, trauma emosi, kemudaratan psikologi ataupun kewangan akibat daripada penyertaan dalam pengalaman kelompok ( Shaffer dan Galinsky, 1989; Swenson, 1977). Saman salah amalan boleh dikenakan ke atas pemimpin kelompok sekiranya mereka melanggar peruntukan etika kolompok.
Cara terbaik untuk menjaga pemimpin kelompok daripada salah amalan ialah dengan mengambil tindakan pencegahan iaitu tidak melaksanakan sesuatu tindakan yang melampaui kecekapan (Corey, 2004). Gladding (2003) telah menyenaraikan beberapa garis panduan untuk memastikan pemimpin kelompok tidak melakukan malpractice iaitu :
• Mematuhi setiap kod etika yang ditetapkan oleh badan profesional
• Melakukan tapisan supaya dapat menggelakan ahli yang berpotensi mendatangkan masalah
• Hanya mengamalkan teori dan teknik yang berdasarkan kemampuan, latihan dan teknik yang dimiliki sahaja.
• Meluangkan masa pada permulaan sesi pertama bagi membincangkan peraturan kelompok dan tanggungjawab ahli kelompok.
• Mendapatkan ‘inform consent’ daripada klien ataupun ibu bapa klien sekiranya klien masih minor.
• Menjalani penyeliaan secara berterusan semasa menjalankan kelompok.
• Mematuhi syarat bayaran perkhidmatan dan amalan penyimpanan rekod yang ditetapkan undang-undang.
• Memperkasakan ahli bagi memantau, menilai dan bertanggung- jawab atas perkembangan diri sendiri.
• Menyedarkan ahli berkaitan kepentingan menjaga kerahsiaan dan situasi hak kerahsiaan boleh dimansuhkan.
• Sentiasa mengikuti perkembangan kajian, teori dan teknik amalan dalam bidang kepakaran masing-masing.

Untuk menggelakkan pemimpin kelompok melakukan salah amalan ialah dengan mengekalkan kemunasabahan, kelaziman dan latihan yang berhemat (Corey, 2004).
Menurut Swenson (1997) terdapat 3 jenis salah amal yang sering berlaku iaitu :
• Memberi perkhidmatan yang tidak cekap dan berkesan sedangkan bayaran yang dikenakan mahal.
• Gagal melindungi orang lain daripada klien.
• Pencabulan hak peribadi klien seperti berkait dengan seks ataupun mengganggu hak privasy klien.

Isu salah amalan ini perlu dielakkan oleh pemimpin kelompok kerana ianya bukan sahaja memudaratkan pemimpin kelompok tetapi ahli kelompok juga akan menerima musibahnya. Pemimpin kelompok perlu mematuhi setiap peraturan dan kod etika yang telah ditetapkan oleh piawaian yang disahkan untuk menjamin proses kelompok ini berjalan dengan lancar. Penguasaan kecekapan juga memainkan peranan penting untuk menggelakkan salah amalan ini berlaku.

2.2.5 Isu Dwi Hubungan antara pemimpin kelompok dengan ahli
Gazda dan rakan-rakan, (2001) menyatakan terdapat beberapa yang akan menyebabkan delima etika :
1. Pemimpin kelompok berkemungkinan akan membangunkan kelompok baru dan ada diantara ahli mempunyai kaitan ataupun hubungan dengan pemimpin kelompok. Seperti contohnya pemimpin kelompok pernah bekerja bersama-sama ahli sperti guru dan pelajar ataupun teman sekerja dan sebagainya. Ini berkemungkinan akan menyebabkan konflik.
2. Selepas kaunseling kelompok bermula, konflik akan berlaku apabila ahli dan pemimpin kelompok saling mengenali antara satu sama lain. Dalam sesetengah situasi contohnya ketua kelompok telah menyedari bahawa di dalam kumpulannya terdapat bekas pasangan kliennya yang telah mengikuti kaunseling individu. Ini akan menyebabkan isu dwi hubungan berlaku antara pemimpin dengan ahli kelompoknya.
3. Tarikan fizikal juga berkemungkinan akan berlaku antara pemimpin dan ahli kelompoknya. Ini akan mewujudkan masalah kesaksamaan dan keadilan antara ahli dan pemimpin kelompok.
4. Isu dwi hubungan juga berlaku apabila pemimpin mempunyai 2 fungsi kepada kliennya iaitu sebagai pemimpin kelompok di dalam kelompok dan sebagai kaunselor di dalam kaunseling individu.
Menurut Neukrug, Miliken dan Walden (2001), walaupun sesetengahdwi hubungan tidak dapt dielakkan dan nampak seolah-olah tidak membahayakan, semua jenis dwi hubungan ini mempunyai risiko dan potensi bagi membahayakan kerana kelemahan dan ketidakseimbangan kuasa antara kaunselor dan kliennya.
Pemimpin kelompok mempunyai tugas dan tanggungjawab memastikan hubungan yang terapeutik tidak terjejas sekiranya wujud sebarang dwi hubungan yang tidak dapat dielakkan. Pemimpin perlu dapat mengawal situasi dan keadaan untuk mewujudkan satu kelompok yang betul-betul bebas daripada konflik yang bakal timbul apabila terdapat isu dwi hubungan ini.

2.2.6 Membuat keputusan yang beretika
Dalam isu pemimpin membuat keputusan yang beretika ini ada 6 prinsip yang berkaitan iaitu :
1. Non-malifecence iaitu apabila ahli meninggalkan kelompok ianya tidak menganiaya ahli kelompok yang lain.
2. Benificence iaitu jika seseorang ahli dikeluarkan sejauh mana ia mendatangkan kebaikan kepada ahli kelompok yang lain.
3. Fidelity yang merujuk kepada kesetiaan dan tanggungjawab samaada pemimpin mahupun ahli terhadap kelompok.
4. Autonomi iaitu kebebasan ahli membuat keputusan.
5. Keadilan iaitu layanan sama rata untuk semua ahli.
6. Veracity iaitu kejujuran terhadap ahli kelompok. Ini penting bagi mengekalkan hubungan baik dan keterbukaan ahli pada pengalaman kelompok.
Pemimpin harus mendapatkan kerjasama dari semua ahli kelompok bagi memastikan tiada perlanggaran undang-undang berlaku sepanjang sesi kelompok. Swenson (1997) memberi empat garis panduan bagi memastikan pemimpin itu bertindak secara etika iaitu :
1. Kejujuran peribadi dan profesional ahli
2. Bertindak bagi kepentingan ahli
3. Bertindak tanpa niat jahat atau kepentingan peribadi
4. Sama ada pemimpin dapat membuktikan tindakan adalah penilaian terbaik berkaitan apa yang sepatutnya dilakukan berdasarkan panduan terkini profesion.

2.2.7 Isu nilai dan silang budaya
Setiap individu mempunyai nilai dan budaya yang berbeza. Dalam kaunseling memang tidak dapat dielak bahawa sistem nilai pemimpin akan sedikit sebanyak mempengaruhi pandangan pemimpin mengenai matlamat kelompok dan jenis pendekatan yang digunakan. Konflik nilai akan timbul apabila ahli kelompok datang dari pelbagai latar belakang dan pengalaman yang berbeza dari segi budaya tahap sosioekonomi, perbezaan umur dan gender, sistem kepercayaan, etnik dan agama yang berbeza.
Nilai agama adalah merupakan salah satu punca berlakunya konflik nilai dalam kelompok. Konflik timbul apabila ada ahli yang membicarakan soal gay, lesbian, persetubuhan haram, penagihan alkohol, pengguguran dan sebagainya. Dalam keadaan ini pemimpin kelompok harus bijak menangani konflik nilai dalam kaunseling (Strupp, 1980 & Simon, 1978).
Kebanyakan kelompok yang dibentuk adalah dari populasi yang pelbagai. Oleh yang demikian apabila seseorang pemimpin berada dalam kelompok dari populasi yang pelbagai, maka mereka perlu sensitif untuk melakukan pengubahsuaian dari segi konsep dan teknik intervensi bagi menyesuaikannya dengan kepelbagaian kelompok. Apa yang penting ialah pemimpin perlu bersedia untuk bekerja dalam kerangka kelompok pelbagai budaya (Han & Vasquez, 2000).
Dalam masyarakat Malaysia pendekatan kaunseling pelbagai budaya khususnya dalam perjalanan sesebuah kelompok adalah penting memandangkan negara ini terdiri dari pelbagai etnik iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Oleh yang demikian seorang pemimpin kelompok harus tahu tentang kepercayaan dan sikap sesuatu etnik supaya mereka tiada bias dan sedar tentang kepelbagaian ahli kelompok. Di samping itu pemimpin kelompok perlu ada pengetahuan bagaimana asumsi nilai beberapa teori dan pendekatan mungkin akan bertindak dengan nilai-nilai kelompok etnik yang berlainan budaya. Pemimpin kelompok juga perlu sedar akan metod yang membantu culture-specific. Oleh itu pemimpin kelompok harus berupaya menggunakan kepelbagaian gaya kepimpinan yang kongruen dengan sistem nilai kelompok-kelompok etnik yang berbeza.

2.2.8 Pendedahan Kendiri
Seseorang pemimpin akan mengalami konflik sama ada perlu atau tidak untuk membuat pendedahan kendiri. Pemimpin menghadapi dilema sejauhmanakah pendedahan kendiri yang perlu mereka lakukan. Ada sesetengah pemimpin hanya membuat pendedahan kendiri seminima yang mungkin bagi mengekalkan jarak diantara dirinya dengan ahli. Keadaan ini akan menyebabkan pemimpin sukar untuk melahirkan perasaan mereka kepada ahli dan kelompok dan ini akan menghadkan intervensi mereka dalam kelompok.
Menurut Corey (1985), adakalanya pemimpin mengambil sikap hanya melakukan sedikit pendedahan kendiri. Mereka berlindung disebalik keprofesionalan mereka dan takut jika dilihat tidak profesional atau hilang hormat dari ahli kelompok. Menurutnya lagi jika pemimpin berhasrat untuk berkongsi sesuatu yang peribadi ia seharusnya dilakukan setelah memikirkan kebaikan dan keburukan kepada ahli atau untuk menggalakkan ahli supaya membuat pendedahan kendiri yang sama.

2.2.9 Kesan Nilai Pemimpin Kepada Kelompok
Kebiasaannya nilai yang dipegang oleh seseorang pemimpin akan banyak mempengaruhi kelompok. Dalam kes ini menurut Corey (1985) dua isu penting iaitu ’imposing value’ dan ’exposing value’. Imposing value ialah pemimpin dilihat tidak menghormati integriti ahli seolah-olah ahli-ahli tidak ada nilai sendiri untuk bertindak, manakala exposing value pula ialah pemimpin membenarkan ahli mencabar dirinya tanpa rasa bersalah jika ahli-ahli tidak menerima nilai pemimpin.
Oleh itu pemimpin perlu menggunakan kemahirannya untuk menggerakkan ahli-ahlinya mencari nilai sendiri dan tidak mengharapkan orang lain menentukan untuk mereka.

2.2.9 Membuat Rujukan
Apabila seseorang pemimpin merasakan tidak mampu untuk membantu mana-mana ahli maka mereka perlu merujukkan ahli tersebut kepada orang yang lebih pakar. Contohnya pemimpin tiada kemahiran berkaitan lesbian maka kes tersebut perlu dirujuk kepada orang yang ada kemahiran dalam mengendalikan kes tersebut. Dalam hal ini seseorang pemimpin itu perlu merujuk ahlinya jika ada sebab-sebab berikut iaitu :
i) Timbul konflik antara pemimpin dan ahli dan ia tidak dapat diselesaikan. Contohnya pemimpin telah jatuh hati pada ahlinya.
ii) Ahli didapati tidak sesuai menjalani sesi kelompok tetapi lebih sesuai menjalani kaunseling individu dan pemimpin tidak menjalankan sesi individu maka pemimpin perlu merujuk ahli tersebut kepada orang yang menjalankan sesi individu.
iii) Ahli tidak memerlukan sesi kelompok tetapi perlu kepada bantuan pihak berkuasa dan badan sokongan lain seperti kes jenayah dan sebagainya.
iv) Pemimpin berasa dirinya tidak mampu menolong atau membantu ahlinya.
Oleh itu dalam membuat rujukan itu pemimpin perlu mendapatkan persetujuan ahli tersebut terlebih dahulu dan sebarang keputusan adalah terletak di tangan ahli. Pemimpin kelompok juga perlu menilai sumber rujukan yang berpotensi dan sebaiknya menghubungi sumber tersebut bagi menentukan kesediaan dan kesesuaian memberi khidmat kepada ahli.

2.3 Isu-isu Selepas Kelompok (Closing Stages)
2.3.1 Penamatan Sesi kelompok
Kelompok adalah koleksi inidividu. Apabila kelompok berakhir ahli-ahli akan pergi dengan maklumat baru, kepercayaan baru, pandangan hidup (world view) yang baru, tingkahlaku baru dan sudah ada keputusan yang ingin diambil tentang sesuatu perkara. Tahap penamatan adalah tahap penting dalam sesuatu sesi kelompok. Pada tahap ini pemimpin kelompok harus bijak untuk menamatkan kelompok supaya tidak timbul isu-isu berbangkit dalam kalangan ahli kelompok. Penamatan sesuatu kelompok juga akan meninggalkan kesan kehilangan kepada ahli. Jika isu rasa kehilangan ini tidak diatasi maka ia akan memberi kesan kepada proses teraputik yang telah berlaku sepanjang proses kelompok.
Bagi menamatkan sesuatu sesi kelompok dengan jayanya pemimpin harus galakkan ahli kelompok untuk berkongsi perasaan sepanjang sesi berlangsung, ini boleh meningkatkan kejelekitan (cohesiveness) sesama ahli kelompok. Perkongsian perasaan ini adalah untuk mendengar perasaan ahli jika ada ahli yang tidak berpuas hati dengan kelompok.
Isu yang penting pada tahap penamatan ini juga ialah tentang pembiaran (abandonment) iaitu selepas kelompok tamat ahli-ahli dibiarkan tanpa ada susulan. Pemimpin kelompok harus membuat tindakan susulan kepada semua ahli kelompok. Ini bagi menjaga kebajikan ahli-ahli klien dan terus memberikan bantuan dan sokongan kepada ahli-ahli kelompok. Ia juga dapat memberikan pemimpin maklum balas berkaitan keberkesanan kelompok daripada ahli selepas ahli keluar dan menjalani kehidupan biasa. Oleh itu pemimpin dapat menilai keberkesanan kepimpinannya dan dapat membuat penambahbaikan sekiranya perlu.

3.0 Kesimpulan
Kepimpinan dalam kelompok memainkan peranan yang besar untuk menjayakan sesebuah kelompok. Pelbagai cara,gaya dan pendekatan yang digunakan oleh pemimpin kelompok untuk menjayakan kelompok yang dipimpinnya. Isu-isu yang dibincangkan dan diketengahkan dalam kertas kerja ini boleh memberikan kesan ke atas sama ada berjaya atau gagal. Oleh itu seorang pemimpin perlu bertindak dengan sebaik mungkin supaya mereka mampu mengendalikan kelompok dengan berkesan dan mencapai matlamatnya.
Rujukan
Gazda G. M., Ginter E. J., & Horne A. M. (2001). Group Counseling and Group Therapy: Theory and Application. Needham Heights, MA: A Pearson Education Company.

Ida Hartina Ahmed Tharbe (2006). Memimpin Kaunseling Kelompok. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Mohamed Sharif b Mustafa (1998). Jurnal Pendidikan UTM. JLd 4 bil 1 hal 19-30. Skudai: Penerbit UTM.

Zuraidah A.R.(1996). Pengenalan Kaunseling Kelompok. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment