Sunday, June 14, 2009

JENIS-JENIS KELOMPOK KAUNSELING

1.0 Pengenalan
Kaunseling kelompok boleh dibahagikan kepada beberapa jenis. Jenis kaunseling kelompok ini dibahagikan bergantung kepada tujuan kelompok itu dibentuk, saiz kelompok, jangka masa kelompok itu berjalan, tanggungjawab pemimpin, tahap keseriusan masalah, kecekapan dan ketrampilan pemimpin dan kandungan perbincangan kelompok (Mahler, 1971). Corey (2000) mengklasifikasikan kelompok kepada kelompok psikoterapi, psikopembelajaran, kelompok bantu diri, kelompok brief dan kelompok orientasi tugas.
Keseluruhannya kelompok kaunseling boleh dibahagikan kepada 2 jenis yang utama iaitu:
1. Kelompok berdasarkan perawatan
2. Kelompok berdasarkan populasi tertentu

2.0 Jenis-jenis Kelompok

2.1. Kelompok berdasarkan perawatan
Kelompok yang dibentuk berdasarkan perawatan atau dipanggil juga kelompok pemulihan atau pendidikan dibahagikan kepada beberapa jenis yang utama iaitu :
1. Kelompok tugasan
2. Kelompok Psikoterapi
3. Kelompok Perkembangan ataupun pengalaman
4. Kelompok kaunseling ataupun teraputik
5. Kelompok Bantu diri
6. Kelompok Bimbingan

Kelompok Tugasan
Kelompok tugasan adalah merupakan kelompok yang dibentuk dengan tujuan untuk mencapai sesuatu matlamat yang telah disasarkan. Kelompok jenis ini adalah memfokuskan pencapaian tugasan bagi kumpulan dan tidak menfokus kepada pencapaian individu. Menurut Association for Specialist in Group Work (ASGW, 2000) kelompok tugasan mempromosi pencapaian tugasan kumpulan yang cekap dan berkesan di kalangan individu yang dikumpul bagi melaksanakan tugas itu.
Kelompok ini tidak berfokus untuk mengubah individu sebaliknya penekanan adalah kepada pencapaian dalam melaksanakan sesuatu tugas yang telah diberikan. Proses dalam kelompok berlaku dengan penumpuan diberikan untuk menyelesaikan masalah mengikut tugasan kelompok. Ahli kelompok memberikan sepenuh perhatian kepada tugasan yang ditetapkan, brainstorming dilakukan bagi memikirkan pelan tindakan dan kata sepakat harus dicapai bagi melaksanakan pelan tindakan yang telah dibincangkan. Kejayaan kelompok tugasan ini banyak bergantung kepada sejauh mana dinamiknya kelompok itu. Pemimpin kelompok memainkan peranan penting untuk membina kelompok yang dinamik tersebut. Oleh itu pemimpin kelompok harus menggunakan kemahiran teraputiknya untuk membina kepercayaan, kerjasama dan kejelekitan dalam kalangan ahli kelompok bagi menggerakkan kelompok menjadi kelompok yang proaktif dan produktif. Setelah tahap kejelekitan telah wujud maka ia akan menarik komitmen, penglibatan dan sokongan setiap ahli kelompok.
Namun demikian terdapat beberapa kelemahan dalam pengendalian kelompok jenis ini iaitu:
1. Ahli tidak jelas dengan peranan dan tujuan kelompok.
Ahli-ahli kelompok mungkin ada yang tidak jelas peranan mereka dan tujuan berada dalam kelompok. Oleh itu mereka tidak dapat memberikan komitmen yang sepenuhnya semasa berada dalam kelompok.
2. Ahli yang pasif
Oleh kerana ada ahli tidak jelas maka mereka akan lebih banyak berdiam diri dalam kelompok. Ahli yang pasif juga disebabkan mungkin adal dalam kalangan mereka yang tidak pernah mengikuti sesi kelompok dan apabila berada dalam kelompok mereka merasa tidak selesa dan sukar untuk memberikan kerjasama kepada ahli-ahli lain dalam kelompok.
Oleh yang demikian Hulse-Killacky, Killacky & Donigian (2000) dalam Ida (2006), telah menggariskan beberapa andaian untuk memastikan kelompok tugasan berfungsi dengan lebih baik iaitu :
1. Tujuan kelompok jelas kepada semua ahli.
2. Proses dan kandungan kelompok adalah seimbang.
3. Sistem kelompok yang mengandungi pemimpin ahli dikenal pasti serta diperakui.
4. Masa yang mencukupi diambil bagi membina budaya dan pembelajaran berkaitan satu sama lain.
5. Etika kerjasama dan rasa hormat diperkembangkan dan disemai.
6. Konflik dikenal pasti.
7. Maklum balas diberikan.
8. Pemimpin memberi tumpuan kepada isu ‘di sini dan kini’
9. Ahli adalah merupakan sumber yang aktif.
10. Ahli mempelajari cara bagi ahli yang berkesan dan berpengaruh.
11. Pemimpin mempamerkan set kemahiran yang ditetapkan bagi membantu ahli menangani isu tugas dan hubungan kemanusiaan.
12. Ahli dan pemimpin mengambil masa bagi mengimbas apa yang berlaku sepanjang sesi.
Andaian-andaian di atas jika dapat dipenuhi akan dapat memastikan kelompok berfungsi dengan baik.

Kelompok Psikoterapi
Kelompok Psikoterapi adalah merupakan satu pendekatan kaunseling yang bersifat merawat dan memulihkan. Ia memberi tumpuan kepada ahli yang mengalami gangguan psikologi yang kronik bagi memperbetulkan emosi dan tingkah laku binormal sehingga menyebabkan disfungsi diri. Matlamat utama kelompok ini adalah perubahan personaliti individu sama ada kecil atau besar. Oleh kerana ia melibatkan perubahan personality maka proses kelompok psikoterapi ini mengambil masa yang agak panjang. Kelompok jenis ini berbeza dengan kelompok jenis lain kerana klien atau ahli kelompok terdiri daripada mereka yang mengalami gangguan mental, kecelaruan serius, kebimbangan kronik, depresi, kecelaruan identity, anxiety dan sebagainya. Klien dalam kelompok ini harus menepati diagnosis dalam Diagnostic Statistical Manual of Mental Disorder (DSMIV).
Pemimpin kelompok ini juga berbeza dengan kelompok yang lain kerana ia melibatkan professional terlatih dalam pelbagai bidang perubatan dan kesihatan mental. Biasanya pemimpin kelompok jenis ini terdiri daripada ahli psikiatri ataupun ahli psikologi yang terlatih dan berlesen. Kelompok ini biasa dijalankan di hospital, pusat kesihatan mental dan melalui program pesakit luar. Dalam suasana seperti hospital pemimpin kelompok dapat memantau perkembangan pesakit setiap hari. Apabila pesakit beransur pulih mereka dikehendaki menjalani sesi kelompok seminggu sekali melalui program rawatan pesakit luar.
Dalam kelompok ini biasanya kes-kes adalah berisiko tinggi. Oleh yang demikian menjalankan sesi dalam kelompok ini begitu mencabar, ini kerana pemimpin kelompok tidak dapat menjangka dengan tepat apa yang akan berlaku. Di samping itu juga ahli-ahli kemungkinan tidak mempunyai masalah yang sama, dan ini menyukarkan pemimpin kelompok untuk menggunakan pendekatan rawatan yang sesuai untuk semua ahli kelompok. Oleh yang demikian pemimpin yang memimpin kelompok jenis ini memerlukan kemahiran yang tinggi dan struktur yang jelas.

Kelompok Perkembangan dan pengalaman
Kelompok jenis ini adalah bertujuan membantu individu-individu yang sihat dari segi psikologinya. Kelompok jenis ini boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu kelompok latihan atau T-Group, kelompok pertembungan dan kelompok marathon.

1. Kelompok Latihan atau T-Group
Kelompok latihan atau T-Group adalah berorientasikan latihan bagi memperkembangkan sensitivity dan kemahiran interpersonal klien. Ahli belajar berkaitan diri sendiri dan orang lain. Ahli-ahli bebas menentukan apa yang mereka mahu pelajari dan mereka boleh menguji perlakuan mereka, menganalisa maklumat dan membuat keputusan.

2. Kelompok Pertembungan
Kelompok pertembungan pula adalah bermula dari kelompok latihan dan ia berasaskan penyelesaian masalah. Namun ianya menggabungkan peluang supaya dapat berkembang dalam setting yang berbeza. Dalam kelompok ini ahli akan diproses untuk menjadi setulen yang mungkin melalui kaedah konfrantasi dan ini akan menjadikan keadaan kelompok lebih intensif dan emosional. Keadaan ini akan mewujudkan kurang selesa kepada ahli dalam kelompok dan ini memerlukan pemimpin kelompok bijak untuk menggunakan kemahiran-kemahiran mereka.

3. Kelompok Maraton
Kelompok ini adalah merupakan jenis kelompok yang bercirikan perjalanan sesi yang agak panjang sehingga berminggu-minggu. Perjalanan sesi yang panjang ini adalah bagi membina hubungan yang efektif melalui interaksi yang mendalam. Ahli kelompok akan menjalankan aktiviti bersama sepanjang hari sehingga tempoh kelompok tamat.
Antara ciri-ciri kelompok perkembangan adalah menekankan kepada:
1. Pembelajaran secara tindakan berbanding hanya berbincang berkaitan sesuatu isu.
2. Keutamaan diberi kepada pengalaman secara langsung hasil daripada peningkatan kesedaran dan tindakan.
3. Interaksi antara ahli amat digalakkan bagi memberi ahli peluang dan berani mengambil risiko serta mampu menjadi setulen yang mungkin.
4. Menurut Johnson & Johnson, 2000 ahli diberi latihan berstruktur sehingga kemahiran baru itu menjadi sebahagian dari fungsi formal seseorang individu.

Kelompok Kaunseling atau Teraputik
Kelompok kaunseling adalah merupakan kelompok yang dibentuk bagi mewakili keadaan sebenar sebaik mungkin. Dalam kelompok ini, ahli-ahli akan memainkan peranan untuk membantu ahli yang mengalami masalah. Kelompok ini lebih berorientasikan masalah ataupun penyelesaian masalah, bersifat memulihkan dan mampu menghalang masalah yang bakal berlaku.
Menurut Zuraidah, 1989 kaunseling kelompok ialah satu pendekatan yang boleh digunakan oleh kaunselor terlatih untuk memberi pertolongan yang berkesan kepada individu yang normal yang menghadapi masalah-masalah seharian yang biasa dalam satu jangka waktu yang sama.
Fokus utama kaunseling kelompok adalah membantu individu menerokai dan mengkonfrantasi ketidakpuasan yang dilalui oleh mereka. Ahli-ahli yang mengalami masalah akan dibantu mencari jalan dan melaksanakan strategi bagi menyelesaikan masalah tersebut. Pemimpin kelompok harus cuba menyediakan suasana yang teraputik bagi memberi keselesaan, rasa selamat dan penuh kepercayaan bagi membolehkan setiap individu menilai diri-sendiri, meningkatkan perkembangan diri dan dapat berhubung dengan orang lain dengan lebih berkesan.
Jumlah ahli kelompok adalah sekitar 6 hingga 12 orang dan keahlian adalah heterogeneous atau pelbagai. Ini adalah bagi mempertingkatkan sumber dalam kelompok. Dengan sumber yang pelbagai ini akan meningkatkan motivasi dan minat kelompok untuk kekal. Ahli-ahli dalam kelompok ini perlu bersikap terbuka dan fleksibel. Kelompok kaunseling menggunakan potensi ahli bagi memahami diri sendiri, merancang, mengubah dan melaksanakan pelan tindakan yang dirancang dalam kelompok.

Kelompok Bantu Diri
Kelompok ini berbeza dengan kelompok kaunseling. Ianya tidak memerlukan pemimpin yang pakar kerana setiap ahli memainkan peranan untuk berkongsi pengalaman-pengalaman mereka, memberikan sokongan emosi dan social antara satu sama lain. Fungsi utama kelompok ini adalah sebagai system sokongan kepada setiap ahli dan ahli dengan bantuan kumpulan bertanggungjawab kepada dirinya dan juga sebarang keputusan yang dibuat. Ciri-ciri kelompok ini juga ialah ahli adalah homogeneous, ahli bertindak sebagai agen sokongan dan bantuan dan sekiranya ada pemimpin dalam kelompok itu ia lebih bertindak sebagai fisilitator dan kebiasaannya pemimpin dilantik dalam kalangan ahli kelompok itu sendiri (Ida, 2006).Contoh kelompok bantu diri adalah kelompok untuk penagihan dadah, ketagihan alcohol, pesakit kanser, kurang upaya dan lain-lain.
Terdapat beberapa kelemahan dalam kelompok ini iaitu dari segi peranan pemimpin yang kurang jelas, ini kerana pemimpin dilantik dalam kalangan ahli kelompok dan bertindak hanya sebagai fasilitator sahaja. Selain itu timbul persoalan sejauhmana keberkesanan kelompok kerana ahli hanya berkongsi pengalaman bukannya kepakaran dan pengalaman itu mungkin tidak sesuai bagi ahli yang lain kerana setiap individu berbeza latar belakang, pendidikan dan sebagainya. Ahli juga mungkin hanya meluahkan emosi dan tekanan yang dihadapi tanpa membantu ahli lain dan ini akan mewujudkan kebergantungan kepada kelompok.

Kelompok Bimbingan
Kelompok bimbingan kebiasaannya banyak dijalankan di sekolah-sekolah dalam proses membimbing para pelajar. Ianya lebih berkisar kepada menyampaikan maklumat dan tidak melibatkan penerokaan yang mendalam. Dalam kelompok ini Thompson & Poppen (1979) menyatakan focus dan kandungan kelompok bimbingan di sekolah adalah perkembangan konsep kendiri, disiplin kendiri pelajar, hubungan rakan sebaya, hubungan interpersonal dengan individu lain, kemahiran belajar, perkembangan kerjaya dan mengembangkan suasana perkembangan yang efektif.
Trotzer (1980) dalam Ida (2006) menyatakan bahawa kelompok bimbingan membekalkan maklumat dan kemahiran yang berguna secara peribadi dan menggalakkan hubungan interpersonal, perbincangan dan perkongsian demi membantu ahli kelompok memahami diri, perkembangan dan dunia mereka.
Ida (2006) membahagikan kelompok bimbingan kepada 2 jenis iaitu:
1. Kelompok Bimbingan besar
2. Kelompok bimbingan kecil
Kelompok bimbingan besar mampu menjangkau berpuluh-puluh peserta bergantung kepada keupayaan fasilitator yang menguruskan kelompok tersebut. Biasanya cara yang digunakan adalah seperti ceramah, tayangan video, forum dan lain-lain. Kelompok ini sangat menjimatkan masa kerana pemimpin kelompok dapat menyampaikan maklumat kepada khalayak yang besar dalam jangkamasa yang singkat. Namun terdapat kelemahan iaitu pemimpin atau fasilitator sukar untuk mengesan keberkesanan penyampaian maklumat tersebut.
Manakala kelompok bimbingan kecil pula hanya melibatkan 8 hingga 12 orang ahli pada setiap masa. Oleh yang demikian sesuatu isu dapat dibincangkan dengan lebih mendalam dan kebiasaannya tumpuan dalam kelompok ini lebih kepada perbincangan berbanding pembentangan oleh fasilitator atau pemimpin.

2. Kelompok Berdasarkan Populasi Tertentu
Kaunseling kelompok berdasarkan populasi tertentu boleh dibahagikan kepada :
1. Kelompok kaunseling untuk kanak-kanak
2. Kelompok kaunseling untuk remaja
3. Kelompok kaunseling untuk pelajar
4. Kelompok kaunseling untuk orang tua

1. Kaunseling kelompok untuk kanak-kanak
Kelompok ini tertumpu kepada pencegahan atau pemulihan. Kaunseling kelompok ini digunakan dengan tujuan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak meluahkan perasaan mereka tentang masalah dan konflik yang mereka hadapi. Kebiasaannya terdapat kanak-kanak yang agresif iaitu suka bergaduh, susah untuk bergaul, panas baran, kurang perhatian dirumah, kelesuan dan keadaan diri yang terabai. Oleh yang demikian kanak-kanak yang mangalami masalah emosi dan tingkahlaku yang serius ini dibantu dengan diberi pemulihan awal untuk membantu mereka secara psikologi untuk menghadapi segala perkembangan hidup dengan lebih berkesan dan kanak-kanak ini dibantu bagi mengubah tingkahlaku mereka kea rah yang tingkahlaku normal.

2. Kaunseling kelompok untuk remaja
Ketika menempuhi zaman remaja individu akan merasa kesunyian dan menghadapi kesukaran dalam membuat pilihan dan keputusan. Ini kerana pada zaman ini remaja masih lagi mencari-cari identiti diri mereka. Melalui kaunseling kelompok remaja dibantu dengan memberi ruang kepada mereka untuk meluahkan konflik-konflik perasaan yang dihadapi, keraguan kepada kebolehan diri dan menyedari semua keadaan tersebut dikongsi bersama dengan rakan remaja yang lain. Dalam kelompok mereka belajar untuk berinteraksi dengan rakan remaja yang lain dan mereka mendapat faedah dari contoh interaksi mereka dengan pemimpin kelompok yang biasanya dikendalikan oleh kaunselor, bahkan mereka belajar untuk meluahkan keprihatinan mereka dan bagaimana pendapat mereka didengari. Dalam konteks ini remaja belajar untuk membantu orang lain untuk mencapai persefahaman dan penerimaan diri.

3. Kaunseling kelompok untuk pelajar
Kaunseling kelompok ini biasanya digunakan di sekolah, kolej dan juga universiti. Ia juga dikenali dengan panggilan home rome dan sebagainya. Kelompok ini digunakan sebagai medan kepada pelajar yang menghadapi masalah perkembangan sosial dan emosi seperti masalah pemilihan kerjaya, hubungan antara rakan sebaya, krisis identiti, perasaan dipinggirkan dan sebagainya.

4. Kaunseling kelompok untuk orang tua
Apabila menjejaki usia tua maka akan timbul perasaan kesunyian dan rasa terpinggir. Kaunseling kelompok ini lebih tertumpu kepada bagaimana untuk mencegah kesunyian dan menawarkan galakkan yang penting ketika mereka mencari makna kehidupan sebenar supaya mereka dapat melalui kehidupan yang lebih bermakna. Melalui kaunseling kelompok ini golongan tua harus sedar bahawa banyak benda yang boleh dilakukan apabila mereka berjaya membuang tanggapan negatif seperti rasa terpinggir dan rasa tidak berguna kepada membina rasa hormat, rasa tulus dan rasa sempurna.

3.0 Kesimpulan
Terdapat dua jenis kaunseling kelompok yang telah dikategorikan. Kaunseling kelompok tersebut bergerak dengan tujuan dan matlamat yang berbeza bergantung kepada tujuan kelompok itu mula-mula dibentuk.






4.0 Rujukan

Corey, G. (2000). Theory & Practice of Group Counseling. (5th Ed). California: Brooks/ Cole Publishing Company.

Hulse-Killacky, D., Killacky, J. & Donigian, J. (2000). Making Task Group Work In Your World. Upper Saddle River, NJ: Prentice Hall.

Ida Hartina Ahmed Tharbe. (2006). Memimpin Kaunseling Kelompok. Kuala Lumpur: Pts Publications.

Johnson, D. W. & Johnson, J. P (2000). Joining Together: Group Theories and Group Skills. Needham Heights: Allyn and Bacon.

Mahler, M. S. (1971). A Study of the separation and individuation process: The Psychoanalytic Study of the Child. New York: Quadrangle.

Thompson, C. L. & Poppen, W. A (1979). Guidence Activities for Counselors and Teachers. Monterey, CA: Brooks/ Cole.

Zuraidah A.R.(1989). Pengenalan Kaunseling Kelompok. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.

1 comment:

  1. JCM Casino - Hotel and Table Games Near You in NJ
    We 경상북도 출장안마 are in Atlantic 구리 출장샵 City and in the area are casino, 공주 출장안마 hotel and 양주 출장마사지 casino, hotel and casino. Enjoy the convenience of the local area with JCM Casino in 광주 출장샵

    ReplyDelete