Sunday, June 14, 2009

TINGKAHLAKU PROSOSIAL

Pengenalan

Di dalam kehidupan bermasyarakat manusia, sifat tolong menolong adalah merupakan tingkah laku yang penting bagi menjamin kehidupan bermasyarakat yang selesa dan harmoni. Manusia bukan sahaja memberi pertolongan kepada orang orang yang tidak dikenali tetapi juga kepada orang yang tidak dikenali. Tingkah laku ini dikenali sebagai tingkah laku menolong atau tingkah laku prososial.

Tingkah laku menolong ialah tingkah laku yang memberi faedah atau keuntungan kepada orang lain. Pertolongan yang diberikan mungkin hanya pertolongan biasa seperti memberi tempat duduk anda kepada seorang tua di dalam bas atau yang berbentuk benar-benar dilakukan seperti menyelamatkan seorang budak yang tergelincir di dalam parit atau yang berbentuk dirancang terlebih dahulu seperti menjadi sukarelawan memungut wang derma untuk orang-orang yang kurang bernasib baik atau yang berbentuk impulsif seperti tindakan seorang wira yang terus meredah ke dalam sebuah rumah terbakar untuk menyelamatkan kanak-kanak yang sedang menjerit kepanasan. Apa yang ketara melalui tingkah laku menolong dalam contoh-contoh yang disebutkan tadi ialah faedah atau kelebihan yang dinikmati oleh orang yang ditolong melalui pengorbanan yang dilakukan oleh orang yang menolong.

Disebalik fenomena yang memperlihatkan tingkah laku manusia yang suka menolong ada pula ketikanya kita perhatikan tingkah laku manusia yang tidak mahu menolong misalnya kerap juga kita mendengar kisah-kisah manusia dipukul, dirompak, ditipu, disiksa malah dibunuh di khalayak ramai terus dibiarkan, orang-orang yang berada di situasi tersebut hanya memerhati dan tidak menolong. Mengapakah kadang-kadang manusia gagal menolong di dalam situasi yang benar-benar memerlukan bantuan seperti ini?. Di dalam topik ini kita akan mengetahui mengapa dan kenapa manusia akan memperlihatkan tingkah laku prososial.

Definisi Tingkah Laku Prososial

Tingkah laku prososial merujuk kepada tindakan sukarela yang bertujuan untuk menolong ataupun memberi faedah kepada individu ataupun individu yang lain (Eisenberg and Mussen 1989, ms 3). Definisi ini merujuk kepada tindakan tersebut berbanding motivasi yang terhasil antara tindakan tersebut. Tingkah laku prososial melibatkan pelbagai aktiviti seperti berkongsi menyelesaikan masalah orang lain, menyelamat dan menolong. Selalunya tingkah laku prososial dikelilingi dengan altruisme. Kedua-duanya adalah berlainan konsep. Tingkah laku prososial merujuk kepada bentuk-bentuk aktiviti manakala altruisme adalah motivasi untuk menolong orang lain dengan niat yang ikhlas dan memenuhi keperluan orang lain tanpa mengira bagaimana tindakan tersebut akan memberi faedah kepadanya. Contohnya altruisme yang biasa seperti seseorang individu yang memberi derma kepada individu, kumpulan ataupun individu tanpa mengharapkan penghargaan, politik atau peningkatan dari segi ekonomi. Ini menunjukkan aktiviti ‘derma’ adalah tindakan prososial dan altruisme adalah motivasi untuk melakukan tindakan tersebut. Altruisme juga dirujuk sebagai tingkah laku yang tidak mementingkan diri sendiri. Dengan kata lain, tingkah laku ini terjadi akibat daripada sikap bertanggungjawab dan bermoral. Seseorang yang bertindak menolong tanpa mengharapkan ganjaran sosial, material dan psikologikal dianggap mempunyai sikap altruistik (sikap mengutamakan kesenangan atau kepentingan orang lain). Secara jelasnya altruisme ialah keinginan dan kemurahan hati untuk menolong orang lain walaupun melibatkan atau terpaksa mengeluarkan kos.


Latarbelakang Tingkah Laku Prososial

Telah terbukti bahawa tindakan sukarela adalah untuk memberi manfaat orang lain telah wujud dalam jiwa manusia dan haiwan. Pada 1978, Edward O. Wilson telah memulakan suatu bidang yang baru, sosiobiologi untuk mengkaji tingkah laku sosial haiwan dan manusia dimotivasikan oleh biologi organisma tersebut. Wilson (1978) telah menggunakan contoh dokumentasi mengenai ‘pertolongan’ yang wujud antara haiwan dan spesis serangga. Semenjak pengedaran buku teks beliau yang inovatif, banyak buku dan artikel dikeluarkan mengenai tingkah laku menolong dan juga menyelamat pada haiwan seperti lebah, semut, anjing liar dan spesis lain.

Secara semulajadi, perkembangan ahli psikologi dan saintis sosial merujuk kepada kajian terhadap haiwan yang membuktikan tingkah laku prososial adalah fungsi biologi yang telah diprogramkan di dalam jiwa kemanusiaan bukan secara semulajadi ataupun tindakan yang dipelajari. Contoh yang menunjukkan manusia mempunyai sifat menolong telah dijumpai sejak lama dulu dan telah direkodkan dalam sejarah ataupun zaman prasejarah.

Di Amerika Utara, orang asli mempunyai budaya berkumpulan yang kuat di mana kumpulan tersebut saling tolong menolong. Dikalangan Hopi sejak 500 SM, sifat tolong menolong dan kerjasama memberikan kebaikan kepada seluruh ahli keluarga dan individu. Persaingan dan kepentingan sendiri bukan aspek dalam kebudayaan Hopi. Di Barat Laut India pula, masyarakat mereka menjemput tetamu ke dalam upacara mereka dan tetamu akan diberi hadiah berdasarkan status tetamu berkenaan.

Selalunya motivasi menggalakkan tingkah laku prososial dan altruisme adalah berkait dengan amalan kepercayaan ataupun agama. 3 kepercayaan agama yang penting di dunia iaitu Islam, Buddha dan Kristian mengajar bahawa menolong orang yang kurang bernasib baik adalah suatu kewajipan dalam beragama. Contohnya Ugama Islam mengajar bahawa membantu orang-orang miskin dan fakir adalah satu tanggungjawab agama. Justeru, mengeluarkan zakat adalah wajib kepada umat Islam dan menjadi salah satu daripada tiang atau perinsip Agama Islam.

Selain itu, terdapat banyak contoh yang menunjukkan Tuhan mengarahkan ataupun memerintahkan penganut agama Yahudi untuk membantu orang yang lemah dan miskin melalui ‘Old Testament’. Jesus juga memberitahu pengikutnya mengenai cerita yang mengandungi tunjuk ajar iaitu “ The Good Samaritan” yang mengarahkan mereka untuk mengikut contoh jiran yang baik yang membantu orang yang memerlukan yang telah dipelopori oleh orang-orang dahulu, termasuklah paderi. Penekanan dalam memberi dan menolong dalam agama Judeo-Kristian adalah sebab utama yang menyebabkan kita menganggap tingkah laku prososial sebagai norma sosial dan suatu moral yang penting dalam kebudayaan barat.

Dalam sejarah, istilah tingkah laku prososial telah digunakan sejak 1970 an. Saintis sosial telah menggunakan istilah ini sebagai antonim untuk ‘tingkah laku antisosial’. Satu badan telah mengkaji berkenaan perkembangan untuk meningkatkan psikologi dalam memberi, menolong dan berkongsi. Bidang psikologi sosial telah menjadi suatu disiplin pada awal 1900an dan fokus utama adalah lebih kepada menekankan kesedaran pada masa tersebut.

Kebangkitan Nazisme, perang dunia, Holocaust, perkembangan yang giat terhadap senjata nukleur dan perkauman. Walaubagaimanapun pada tahun 1960an, kepentingan tingkah laku menolong dan moitvasi psikologi untuk kearah itu telah menjadi tarikan. Pemahaman tingkah laku prososial telah dikenalpasti menjadi kunci untuk mengharmonikan antara individu atau hubungan dalam sesuatu kumpulan.

Pencarian kunci untuk harmoni pada masa tersebut kerana dua alasan. Pertama, semasa zaman perubahan keadilan undang-undang, bangsa kulit hitam dan putih telah menghukum diri mereka sendiri dengan hukuman sebat dan kematian dalam membantah pengasingan kaum, meskipun aktiviti-aktiviti tersebut adalah bukan mangsa sebenar apa yang mereka jangkakan.

Alasan kedua, terdapat peningkatan mendadak bilangan kes pemerhati ataupun pegawai atasan yang gagal menolong mangsa-mangsa daripada jenayah yang kejam – perkara yang paling sensasi telah berlaku pada 1964 iaitu pembunuhan Kitty Genovese. Genovese telah ditikam diluar pangsapurinya, dan telah berulangkali meminta tolong tetapi langsung tidak dibantu oleh seorangpun walaupun terdapat 38 individu yang telah mendengar jeritan beliau. Seorang saksi telah menelefon polis 30 minit selepas serangan penjenayah itu dan selepas Genovese mati. Kebangkitan keadilan undang-undang dan pembunuhan Genovese telah menarik perhatian rakyat, menimbulkan persoalan mengapa manusia tidak mempunyai tingkah laku prososial dan telah memaksa ahli psikologi sosial untuk mengkaji motivasi psikologi yang akan mendorong sifat menolong dan berkongsi.

Berikutan kajian-kajian yang dilakukan oleh badan-badan ka atas tingkah laku prososial telah membuahkan hasil yang baik iaitu menghasilkan penulis-penulis mengenai tingkah laku prososial.

Tingkahlaku Prososial: Mengapa Manusia Memberi Pertolongan

Golongan ahli psikologi Evolusi berpendapat tingkah laku sosial berkaitan dengan elemen naluri dan dan juga faktor genetik. Ia menerangkan tingkahlaku sosial yang dipengaruhi faktor yang berkembang beransur-ansur melalui peredaran masa (pemilihan semulajadi atau spontan). Idea mengenai pemilihan ‘kin” (sanak saudara, kaum kerabat) adalah idea tentang tingkahlaku yang melibatkan genetik bersaudara adalah berlaku secara spontan. Norma pertukaran (Norm of reciprocity) adalah anggapan bahawa menolong orang lain akan meningkatkan kemungkinan mereka yang ditolong akan menolong kembali di masa akan datang. Eisenberg (1986) mencadangkan bahawa sesiapa yang belajar dengan baik mengenai norma sosial mempunyai nilai kompetetif atau daya saing yang lebih tinggi. Norma sosial yang paling penting adalah altruisme.

Manakala sebahagian ahli psikologi yang berpegang kepada Teori Pertukaran Sosial mengandaikan bahawa faktor berlakunya tingkah laku prososial bergantung kepada faktor kos dan pulangan sesuatu pertolongan yang diberikan. Teori pertukaran sosial membantah sekerasnya sesuatu yang dilakukan berdasarkan kemahuan untuk memaksimumkan hasil dan meminimumkan kos. Menyokong teori psikologi evolusi iaitu teori berasaskan kemahuan dan minat sendiri, tetapi tidak menyokong teori berdasarkan asas genetik. Sesuatu pertolongan boleh dihargai dalam 3 cara:

  1. Meningkatkan kebarangkalian seseorang individu menolong kita di masa hadapan.
  2. Membebaskan tekanan yang disebabkan oleh pemerhati.
  3. Menambahkan penerimaan sosial dan meningkatkan nilai kendiri.

Pertolongan juga boleh melibatkan kos yang mana kadar pertolongan akan berkurang dengan peningkatan kos.


Personaliti Penentu Tingkahlaku

Setiap individu mempunyai personaliti yang berbeza. Kepelbagaian personaliti ini menjadi penentu kepada tingkah laku prososial. Menurut Huston (1981) dalam kalangan mereka yang mempunyai keberanian menolong walaupun diri mereka menghadapi bahaya ialah mereka yang mempunyai ciri-ciri seperti lebih tinggi, lebih besar, lebih berat dan mempunyai kemahiran yang lebih baik dalam menolong orang berbanding manusia lain. Personaliti ini boleh dilihat dan dibincangkan dari aspek berikut:

Perbezaan individu : personaliti altruistik

Aspek dalam diri seseorang individu yang menyebabkan dia menolong orang lain dalam pelbagai situasi. Kajian menunjukkan perkaitan antara individu yang menolong dalam satu situasi adalah tidak begitu berkait dengan tahap prososial individu tersebut dalam situasi yang lain. Norma personaliti pada individu yang berasaskan perasaan mempengaruhi individu menolong orang lain. Contohnya individu yang menderma darah, tingkah laku ini dipengaruhi oleh norma personaliti seseorang individu itu.

Jelasnya tahap prososial atau pertolongan seseorang individu berbeza dalam situasi yang berbeza. Bukan hanya personaliti yang mempengaruhi seseorang memberi pertolongan ia juga bergantung kepada situasi yang dilalui. Ini menunjukkan individu yang berbeza akan membantu dalam situasi yang berbeza.

Dalam hal ini Baron dan Byrne (1991) telah merumus dan menyenaraikan lima pembolehubah personaliti alturistik iaitu :

i) Empati

Individu yang cenderung bertingkah laku prososial adalah mereka yang mempunyai empati yang tinggi. Individu yang mempunyai sifat empati juga merasakan mereka bertanggungjawab, akur, tolak ansur, kawal diri dan berusaha memberikan impresi yang baik kepada orang lain.

ii) Percaya kepada dunia yang adil

Individu yang mempunyai persepsi bahawa kehidupan di dunia ini adalah adil apabila tingkahlaku yang baik diberikan ganjaran dan tingkah laku yang tidak baik akan menerima hukuman. Mereka percaya bahawa tingkah laku menolong bukan sahaja memberi faedah kepada orang yang diberi pertolongan tetapi juga kepada orang yang memberi pertolongan.

iii) Tanggungjawab sosial

Setiap individu biasanya percaya bahawa setiap manusia bertanggungjawab untuk melakukan sebaik mungkin dalam menolong orang lain. Mereka beranggapan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi.

iv) Lokus kawalan dalaman

Lokus kawalan dalaman ialah individu percaya bahawa mereka boleh menentukan cara-cara terbaik dalam bertingkah laku untuk memberikan pertolongan. Berbeza dengan individu yang mempunyai lokus kawalan luaran, mereka ini hanya berserah kepada nasib dan dengan demikian mereka tidak berusaha bersungguh-sungguh dalam memberikan pertolongan.

v) Egosentrisme yang rendah

Mereka ini adalah tidak mementingkan diri sendiri. Manusia yang kurang cenderung memberikan pertolongan biasanya bersifat egosentrik dan bersaingan.

Perbezaan jantina/ gender

Eagly dan Crowly (1987) menyatakan lelaki lebih suka menolong dalam keadaan bersifat kesatriaan, kepahlawanan (Heroic), manakala wanita pula lebih gemar menolong dalam pemeliharaan, penjagaan, pendidikan termasuklah komitmen dalam jangkamasa panjang.

Perbezaan budaya

Berdasarkan perbezaan budaya, manusia lebih suka menolong ahli dalam kumpulan mereka, iaitu mereka yang mempunyai kebudayaan yang sama antara satu sama lain, berbanding dengan yang bukan ahli kumpulan mereka. Mereka yang mempunyai kebudayaan kumpulan, berpuak (collective culture) akan lebih suka menolong ahli dalam puak mereka berbanding dengan individu dari kumpulan lain. Sebagai contohnya dalam masyarakat kita hari ini bangsa Cina lebih cenderung untuk menolong bangsa Cina itu sendiri begitu juga bangsa India dan juga bangsa Melayu.

Namun demikian dalam konteks negara ini yang berbilang bangsa, budaya, kepercayaan dan agama keadaan ini cuba diintegrasikan agar wujud rasa kebersamaan tanpa mengira bangsa yang berlainan.

Kesan emosi terhadap tingkah laku prososial

Individu yang mempunyai perasaan atau emosi yang baik akan lebih cenderung untuk menolong. 3 sebab yang menyokong pernyataan di atas iaitu :

  1. Emosi yang baik membolehkan kita menterjemahkan sesuatu perkara yang berlaku secara simpatetik.
  2. Menolong orang lain akan memanjangkan keadaan emosi yang lain.
  3. Emosi yang baik akan meningkatkan keprihatinan yang akan menolong kita untuk lebih berkelakuan berdasarkan nilai-nilai murni dan kepercayaan atau agama sendiri.

Hipotesis membebaskan keadaan/ kenyataan negatif

Menyatakan individu memberi pertolongan untuk mengurangkan kesedihan, kemurungan, tekanan yang dialami diri sendiri yang merupakan contoh pendekatan ‘pertukaran sosial’. Menolong sebagai cara mengurangkan tekanan yang dihadapi.



Situasi Yang Menentukan Tingkahlaku Prososial : Bila Seseorang Akan Menolong Individu Yang Lain.

Persekitaran: Pedalaman atau Bandar

Mereka yang tinggal di kampung atau pedalaman lebih cenderung untuk menolong dalam pelbagai situasi di kebanyakan negara. Secara jelas orang di kawasan pedalaman lebih mempunyai sifat kejiranan dan senang mempercayai orang yang tidak dikenali. Latena dan Darley (1970) mendapati bahawa pelajar dari luar bandar adalah cenderung kepada menolong orang lain. Pada hari ini situasi masyarakat bandar dan luar bandar begitu berbeza sebagai contohnya masyarakat luar bandar begitu mudah dan mesra untuk menjemput tetamu masuk ke rumah mereka berbanding di kawasan bandar yang sukar untuk menjemput tetamu masuk ke rumah mereka.

Milgram (1974) menyebut mengenai hipotesis bebanan. Orang di kawasan bandar cuba mengelakkan diri mereka dari dibebani rangsangan yang diterima. Jadi penduduk bandar kurang ingin menolong untuk mengelakkan berlebihan bebanan.

Bilangan pemerhati : Kesan pemerhati kepada tingkah laku prososial

Latane dan Darley (1970) membina langkah demi langkah penerangan bagaimana individu memutuskan untuk memberi pertolongan dalam sesuatu kecemasan.

  1. Menyedari perkara yang berlaku
  2. Menganggap dan menterjemahkan keadaan itu sebagai kecemasan.
  3. Kehadiran perasaan tanggungjawab
  4. Mengetahui cara atau kaedah untuk menolong
  5. Memutuskan untuk melaksanakan pertolongan

Ketidakpedulian beramai-ramai (pluristic ignorance) iaitu fenomena di mana pemerhati menganggap tiada apa yang berlaku dalam sesuatu kecemasan kerana tiada seorang pun yang mengambil berat kejadian tersebut. Keadaan ini begitu mengganggu penterjemahan sesuatu kejadian kepada kecemasan seterusnya mengurangkan keinginan menolong.

Penyerapan rasa tanggungjawab adalah fenomena di mana sekiranya rasa tanggungjawab setiap pemerhati menurun, maka bilangan saksi kejadian akan meningkat dan seterusnya kadar menolong berkurang.

Secara umumnya kita lebih gemar menolong orang yang dikenali berbanding orang yang tidak dikenali selagi orang yang dikenali tidak mengambil kesempatan ke atas kita untuk kesenangan diri mereka sehingga menjejaskan maruah kita sendiri.

Bagaimana meningkatkan sifat menolong?

Manusia tidak suka selalu ditolong. Jika ditolong ini bermakna menunjukkan individu yang ditolong merasa tidak berdaya saing, kurang keyakinan diri dan mereka selalu merasa tersiksa dengan pertolongan tanpa disedari. Matlamat pertolongan adalah untuk menyokong, menyatakan rasa ambil berat, tetapi berjaga-jaga dalam pengawalan aktiviti menolong yang mungkin akan mengancam maruah orang yang ditolong.


Pengaruh Psikologi Terhadap Tingkah Laku Prososial

Kebiasaannya manusia menunjukkan tingkahlaku prososial terhadap sesuatu keadaan disebabkan oleh pengaruh psikologi yang pernah dialami. Pengaruh psikologi banyak mempengaruhi cara manusia bertindak terhadap sesuatu keadaaan dan suasana yang melibatkan aktiviti sosial. Pengaruh psikologi ini terbahagi kepada 3 faktor iaitu faktor emosi atau perasaan, faktor keperibadian dan faktor situasi atau keadaan semasa.

Faktor Emosi atau perasaan

Kesan emosi mendorong manusia bertindak dalam keadaan di luar dugaan. Kesan emosi boleh dilihat dari aspek berikut:

Empati

Empati adalah merupakan kebolehan individu meletakkan diri dalam keadaan orang lain. Apabila seseorang melihat orang lain dalam kesusahan empati bertindak sebagai pendorong seseorang itu untuk menolong orang lain yang ditimpa kesusahan (Ma’rof Redzuan, 2001). Tingkahlaku menolong ini adalah disebabkan oleh perkongsian emosi dengan individu lain iaitu cuba merasai atau memahami apa yang telah dialami oleh individu lain. Empati biasanya pertolongan yang diberi pertolongan yang diberi untuk mengurangkan tekanan diri dan emosi orang lain dalam bentuk ganjaran dan perkhidmatan.

Perasaan bersalah dan simpati

Perasaan bersalah biasanya timbul apabila melakukan sesuatu yang merugikan diri sendiri dan orang lain. Perasaan bersalah ini kebiasaannya memudahkan seseorang untuk menolong orang lain. Kadang kala individu menolong orang lain disebabkan perasaan simpati iaitu merasa kasihan kepada individu lain akibat nasib tidak baik yang diterima individu lain seperti bencana alam, kemalangan, masalah rumahtangga, kematian dan sebagainya. Daripada perasaan simpati inilah individu akan membantu untuk meringankan tekanan yang dialami oleh orang lain.

Suasana rasa yang baik

Keinginan menolong sering juga dikaitkan dengan suasana rasa. Suasana rasa ini akan membangkitkan keinginan untuk menolong. Apabila individu mengalami suasana rasa yang baik ia akan menjadi lebih aktif dan berkeinginan untuk menolong individu lain lebih tinggi. Individu menolong yang bergantung kepada suasana rasa yang baik mempunyai keinginan untuk menolong yang tidak tetap iaitu apabila keadaan suasana itu berubah, keinginan untuk menolong akan berkurangan dan seseorang itu akan lebih kepada mementingkan diri sendiri dengan menyelesaikan masalah sendiri daripada masalah orang lain.

Suasana rasa yang kurang baik

Suasana rasa yang kurang baik selalunya terjadi akibat kesilapan yang pernah dilakukan dan pengalaman yang merugikan dalam hidup. Peristiwa pahit atau pengalaman lampau sering kali membayangi kehidupan manusia. Individu lazimnya akan menolong individu lain daripada melakukan kesilapan yang pernah ia lakukan terdahulu. Individu yang mempunyai suasana rasa yang tidak baik ini iaitu individu yang menolong biasanya akan menolong individu lain dan mengharapkan suasana rasa yang baik akan dialami oleh individu yang ditolong. Sebagai contohnya seorang ahli korporat berjaya yang berasal dari keluarga yang susah memberikan pertolongan kepada pelajar-pelajar miskin dalam bentuk biasiswa dan sebagai. Tingkah laku menolong ini adalah kerana pengalaman masa lampau ahli korporat tersebut yang susah cuba menolong pelajar-pelajar yang miskin agar pelajar-pelajar tersebut akan dapat merasai suasana yang baik.

Motivasi untuk menolong

Keinginan untuk menolong biasanya mempunyai motif atau matlamat yang tertentu mengakibatkan seseorang itu menolong orang lain. Matlamat atau motif individu yang menolong biasanya dalam bentuk ganjaran, penghormatan dan pujian (Bandura, 1986). Jika sesuatu motif atau matlamat itu dapat dicapai apabila individu itu menolong maka keinginan untuk menolong adalah tinggi dan begitulah sebalik. Pengalaman seseorang individu apabila menolong orang lain juga memainkan peranan dalam memotivasikan individu itu untuk menolong individu lain. Apabila melihat orang lain memerlukan bantuan, individu itu akan merasakan ia mempunyai tanggungjawab untuk menolong individu yang memerlukan pertolongan disebabkan pengalaman menolong yang pernah dilakukan oleh individu itu. Ahli-ahli potlitik biasanya menghulurkan bantuan dengan matlamat dan motif utama untuk mendapatkan undi semasa pilihan raya. Dalam Islam setiap individu yang menolong orang lain dijanjikan pahala. Konsep ini adalah merupakan konsep ganjaran iaitu setiap perbuatan yang baik akan mendapat balasan yang baik.

Faktor Keperibadian

Faktor keperibadian boleh dilihat dari aspek berikut:

Kebolehan untuk mendapatkan ganjaran

Seseorang itu akan menolong orang lain apabila ganjaran yang diperoleh memberi kepuasan kepadanya (Bandura, 1986). Bentuk ganjaran adalah dalam pelbagai bentuk sebagai contohnya harta benda, penghormatan, pujian dan sebagainya.

Latar belakang

Latar belakang seseorang individu juga mempengaruhi tingkah laku prososial seseorang individu. Daya menolong orang di kawasan luar bandar adalah lebih tinggi berbanding dengan orang di kawasan bandar. Latane dan Darley (1970) mendapati bahawa pertolongan yang diberikan kepada orang lain terhadap masyarakat adalah lebih tinggi di kawasan luar bandar berbanding kawasan bandar.

Sifat keperibadian

Sifat keperibadian dilihat sebagai penilaian kendiri dan dikenali juga sebagai trait personaliti. Trait personaliti ini dapat mempengaruhi tingkah laku menolong kerana seseorang itu mempunyai kendiri yang tinggi, meyakini bahawa dirinya boleh mengubah keadaan buruk yang menimpa kepada yang lebih baik dan suka melakukan kebajikan terhadap orang lain. Satu alasan mengenai kesukaran untuk melihat seseorang itu akan menolong dalam sesuatu situasi adalah kerana tekanan situasi dalam cara yang kompleks.

Kajian menjumpai individu yang berorientasi penilaian kendiri atau harga diri menyerlahkan pencapaian, aktif dan suka memajukan diri. Individu ini dilihat lebih mempunyai keinginan untuk menolong orang lain. Manakala individu yang berorientasikan keselamatan menunjukkan rasa bimbang, tidak selamat dan bergantung kepada orang lain. Individu ini dilihat kurang menolong kerana lebih menumpukan perhatian dan dipengaruhi oleh contoh atau model (bystander) dalam situasi kecemasan.

Sikap seseorang

Sikap seseorang untuk menolong bergantung kepada kelakuan yang mengubah sikap antara individu dalam masyarakat yang sama dan kesan terhadap tingkah laku menolong dalam situasi yang khusus. Ketika menolong, sikap seseorang melibatkan rasa kewajipan melakukan tindakan menolong yang khusus.

Faktor Situasi

Faktor situasi adalah penting dalam menentukan sama ada seseorang itu akan memberikan pertolongan atau pun tidak. Dalam hal ini beberapa perkara yang berkaitan keadaan situasi akan dibincangkan.

Keadaan persekitaran

Dalam banyak keadaan kita melihat bahawa keadaan persekitaran sedikit sebanyak mempengaruhi tingkah laku prososial. Keadaan persekitaran seperti cuaca panas atau hujan, cerah atau gelap dan bandar atau luar bandar adalah merupakan persekitaran yang akan memainkan peranan dalam mempengaruhi tingkah laku prososial.

Cunningham (1979), dalam kajiannya mendapati bahawa subjek kajian lebih cenderung untuk menolong apabila cuaca bermatahari lebih cerah berbanding apabila cuaca hujan yang malap. Begitu juga manusia lebih cenderung untuk menolong dalam musim panas berbanding musim sejuk.

Steblay (1987) pula menyatakan bahawa saiz sesebuah bandar itu penting dalam hubungannya dengan tingkah laku prososial. Menurut beliau kecenderungan menolong di bandar kecil adalah lebih tinggi berbanding dengan di bandar besar. Dapatan kajian ini disokong pula oleh hasil kajian yang didapati oleh Amato (1983). Beberapa sebab diberikan mengapa orang yang tinggal di bandar-bandar besar dikatakan kurang cenderung bertingkah laku prososial. Antara sebabnya ialah bebanan yang dialami oleh penduduk di bandar besar yang sentiasa disogok dengan rangsangan-rangsangan termasuk rangsangan daripada orang lain sebagai contohnya perasaan ketidakupayaan akibat daripada berurusan dengan pemerintah dan birokrasi yang dirasakan tidak bersifat responsif.

Kesibukan hidup di bandar juga mengurangkan tahap tingkah laku prososial penduduk di bandar besar kerana kesibukan ini menghalang mereka untuk mengenali antara satu sama lain. Kesan kesibukan ini menjadikan penduduk di bandar lebih bersifat keakuan dan tidak bersifat kekitaan.

Faktor kebisingan juga boleh memberi kesan kepada tingkah laku prososial. Sears (1991) mendapati bahawa kebisingan boleh mengurangkan gerak balas manusia pada sesuatu peristiwa dalam persekitaran. Dalam maksud yang lain keadaan yang bising manusia agak terhalang untuk menyedari sesuatu peristiwa yang memerlukan pertolongan itu berlaku.

Tekanan masa

Dalam situasi tertentu manusia mungkin dalam keadaan tergesa-gesa menyababkan mereka tidak mempunyai masa untuk menolong. Manusia biasanya akan memilih untuk menyelesaikan perkara-perkara penting dan segera terlebih dahulu dan kurang memberi keutamaan kepada memberi pertolongan. Walau bagaimanapun adalah segelintir ahli masyarakat yang kadang kala membuat pertimbangan atau analisis kos keuntungan. Dalam masa yang terbatas kemungkinan manusia tidak melakukan pertolongan sekiranya pertolongan itu memakan masa yang lama dan tidak melibatkan kos yang tinggi sekiranya tidak ditolong (Ma’rof Redzuan, 2001).

Kehadiran Orang Lain

Kehadiran orang lain boleh mengurangkan kecenderungan untuk menolong atau ia juga boleh meningkatkan kecenderungan untuk menolong. Bagi individu yang kurang kecenderungan untuk menolong akibat kehadiran orang lain mungkin beranggapan bahawa dia tidak perlu memberi pertolongan kerana sudah ada orang lain yang boleh memberikan pertolongan. Begitu juga bagi individu yang beranggapan bahawa tidak perlu menonjolkan pertolongan yang diberikan maka mereka ini kurang kecenderungan untuk menolong apabila orang lain hadir bersama dalam situasi tersebut.

Namun demikian bagi orang yang berkecenderungan tinggi apabila ada kehadiran orang lain mungkin mereka mengharapkan sesuatu dari pertolongan yang diberikan. Sebagai contohnya seorang pekerja bawahan akan cenderung untuk menghulurkan bantuan atau pertolongan jika mereka sedar dan tahu akan kehadiran ketua atau majikan mereka. Begitu juga bagi seorang pemimpin masyarakat, mereka cenderung untuk menolong jika sedar ramai orang berada bersama ketika itu. Pertolongan yang diberikan itu adalah dengan harapan akan mendapat kepercayaan dan rasa hormat orang lain kepada mereka.

Latane dan Darley (1970) menamakan ini sebagai kesan bystander. Kesan bystander boleh diterangkan seperti berikut :

i) Kesamaran dalam pentafsiran ke atas situasi

Pemberi pertolongan yang berpotensi kadangkala tidak begitu pasti sama ada sesuatu itu sebenarnya merupakan satu kecemasan atau orang yang ditimpa kemalangan itu perlu ditolong atau pun tidak. Dengan itu tingkah laku bystander lain boleh mempengaruhi bagaimana kita mendefinisikan situasi. Pentafsiran kita terhadap peristiwa inilah yang boleh mempengaruhi bagaimana kita seharusnya bertindak samaada untuk menolong atau tidak.

ii) Kebimbangan penilaian

Sudah menjadi kebiasaan manusia menjadi bimbang dengan penilaian orang lain terhadap diri mereka. Kita biasanya menjadi serba salah dan tidak selesa jika kita sedar bahawa setiap tingkah laku kita diperhatikan. Perasaan seperti risau, khuatir dan bimbang akan wujud dalam diri kita kalau-kalau kita telah melakukan sesuatu yang salah dan ini akan mengundang penilaian negatif daripada orang lain. Dalam hal ini kita merasa tidak selesa apabila memberikan pertolongan lebih-lebih lagi dengan kehadiran orang lain. Semua ini adalah merupakan kos yang kita hadapi sekiranya kita menolong dan keinginan untuk mengelakkan diri daripada penolakan sosial ini boleh menghalang kita daripada bertindak untuk menolong. Keadaan sebaliknya juga mungkin boleh berlaku. Kebimbangan ini boleh mendorong diri untuk menolong, misalnya jika kita lihat seseorang yang cedera dan kita segera memberikan pertolongan kerana kita bimbang jika kita tidak menolong kita itu orang lain akan mengatakan kita seorang yang tidak berperikemanusiaan dan sebagainya. Kebimbangan ini juga boleh menjadi pendorong kepada kita untuk menunaikan tanggungjawab sosial.

iii) Penyebaran tanggungjawab

Kesan bystander ada juga kaitan dengan penyebaran rasa tanggungjawab. Sebagai contohnya jika satu keadaan atau situasi di mana tiada orang lain yang berada di situ ketika sesuatu kejadian berlaku, maka kita merasakan itu menjadi tanggungjawab kita untuk membantu. Namun demikian jika ada orang lain yang bersama maka tanggungjawab pada diri akan berkurangan kerana merasakan orang lain juga mempunyai tanggungjawab yang sama untuk menolong ketika itu.

Galakan membantu

Norma sosial penting bagi individu atau kumpulan dalam memberi sebarang bantuan kepada sesiapa yang memerlukan. Sikap timbal balik dalam norma sosial ialah tingkah laku yang dilakukan oleh individu A menolong individu B disebabkan individu B pernah menolong individu A. Norma sosial jenis ini adalah universal dan saling melengkapi antara satu sama lain dengan bahagian kod moral dan semua budaya. Menurut perpektif norma sosial terdapat beberapa norma sosial yang mempengaruhi tingkah laku prososial iaitu :

Norma timbal balik (Reciprocity)

Sikap timbal balik begitu kuat mendorong seseorang memberi pertolongan semata-mata untuk mendapatkan balasan dan ganjaran. Norma timbal balik menyatakan bahawa kita harus menolong mereka yang pernah menolong kita. Azizi dan rakan-rakan (2005), menyatakan bahawa sikap tolong menolong yang dilakukan oleh individu bukan sahaja berpunca faktor timbal balik, tetapi sikap timbang rasa juga mempengaruhi seseorang dalam memberi bantuan kepada individu lain. Jika kita sudah biasa memberi bantuan kepada orang lain, ia akan mendorong kita akan sentiasa emberi pertolongan kepada sesiapa pada masa-masa akan datang. Rasa tanggungjawab juga berkaitan dalam norma sosial ini. Ia susah terjadi secara tiba-tiba. Walau bagaimanapun banyak perhubungan sesame individu terjalin melalui rasa tanggungjawab dan timbang rasa dalam tingkah laku tolong menolong.

Norma tanggungjawab sosial

Terdapat andaian bahawa orang yang berkedudukan baik seperti ada kuasa, kedudukan dan pangkat seharusnya lebih banyak menolong orang lain yang memerlukan pertolongan. Andaian ini adalah merupakan norma tanggungjawab sosial. Seorang abang akan bertindak sebagai penjaga dan pelindung kepada adik-adiknya. Tindakan ini adalah menurut norma tanggungjawab sosial. Walau bagaimanapun seperti yang telah dibincangkan sebelum ini bahawa ada segelintir individu yang menghulurkan bantuan adalah bertujuan untuk mendapatkan faedah daripada bantuan tersebut.

Mohd Makzan (2001) menyatakan bahawa norma tanggungjawab sosial ini mengarah individu untuk membantu mereka yang patut diberi bantuan khususnya individu yang bergantung kepada diri kita. Norma ini diserap ke dalam diri bukan untuk mendapatkan ganjaran sosial atau material.

Norma kesamaan dan keadilan dalam pengagihan

Norma kesamaan dan keadilan menyatakan bahawa setiap ahli sesuatu kelompok hendaklah mendapat faedah secara sama rata daripada pengagihan ganjaran. Norma ini juga menyatakan bahawa seseorang seharusnya memperolehi ganjaran berdasarkan sumbangannya terhadap kelompok (Ma’rof, 2001).

Norma sosial dan norma peribadi

Sesuatu tingkah laku yang dilakukan melalui norma-norma sosial adalah kurang tepat ramalannya. Dalam sebuah masyarakat norma sosial masyarakat tersebut adalah berbeza dengan masyarakat yang lain. Sebagai contohnya norma sosial masyarakat kita yang menyatakan jangan suka menjaga tepi kain orang lain, namun dalam masa yang sama apa tindakan kita jika melihat seorang isteri dipukul oleh suaminya sendiri atau seorang anak dipukul oleh ibu atau ayahnya. Dalam keadaan ini ada pihak yang mempunyai norma yang lain menyatakan kita harus membantu dan menolong isteri dan anak tersebut. Oleh yang demikian norma bukan sahaja bertindak sebagai pendorong kepada sesuatu tingkah laku tetapi juga adalah untuk membataskan tingkahlaku yang lain.

Dalam konteks norma peribadi pula tingkah laku prososial boleh difahami melalui nilai, prinsip dan perasaan tanggungjawab moral individu untuk menolong orang lain dalam situasi yang tertentu.

Penghalang galakan membantu

Kebanyakan penduduk di bandar kurang terlibat dalam akriviti tolong menolong. Mereka lebih cenderung menolong golongan keluarga mereka sahaja. Mereka lebih mementingkan diri sendiri. Beberapa jenis penyesuaian untuk seseorang boleh tertekan disebabkan oleh penghuni bandar. Penyesuaian yang pertama ialah untuk mengurangkan masa yang diberikan oleh setiap individu. Cara yang kedua pula ialah untuk tidak peduli individu yang kuarang penting. Manakala penyesuaian yang ketiga ialah menghalang penerimaan individu yang lain. Kurangnya masa untuk setiap individu bermakna kurangnya peluang pembantu menjadi biasa dengan permasalahan dan merasa empati terhadap individu yang tertekan. Memandangkan individu yang kurang penting diabaikan dan individu tersebut memerlukan pertolongan tidak menjadi tajuk utama di dunia kognitif orang ramai, dia tidak akan diketahui dan tidak akan menerima bantuan.

Teknik Atau Pendekatan Kaunseling Yang Boleh Digunakan Terhadap Klien

Hasil dapatan kami mendapati individu yang tidak menunjukkan tingkah laku prososial seperti kurang melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan, tidak gemar menderma, tidak suka menolong orang lain, suka mengasingkan diri dan sebagainya; perlu dibantu dengan beberapa kaedah tertentu.

Individu atau klien berkenaan boleh dibantu dengan menggunakan pendekatan kaunseling kelompok. Teknik mengumpulkan klien berkenaan dalam kelompok kaunseling akan dapat memberi pendedahan dan perkongsian tentang tingkah laku prososial yang sepatutnya ada pada seseorang individu. Teknik yang dicadangkan ialah teknik pembelajaran sosial atau peniruan sosial yang dipelopori oleh Albert Bandura.

Melalui teknik ini, klien akan berkongsi pandangan dan pendapat dengan rakan-rakan lain dalam kelompok tentang konsep dan kebaikan tingkah laku prososial. Bandura mengandaikan bahawa kebanyakan tingkah laku kanak-kanak dipelajari dengan cara memerhatikan tingkah laku orang lain. Sehubungan dengan itu, kanak-kanak yang mengajuk atau meniru tingkah laku model-model kadangkala diberikan peneguhan dalam pelbagai bentuk. Contohnya, pujian, galakan dan sebagainya.

Melalui pemerhatian hubungan antara tingkah laku model dan hasil atau kesan daripada tingkah laku tersebut, kanak-kanak akan cuba mengaitkannya secara kognitif. Ia juga berfungsi sebagai sumber jangkaan mengenai apa akan berlaku sekiranya kanak-kanak tersebut bertindak dalam cara yang sama. Seterusnya kanak-kanak akan dapat menjangkakan bahawa sesuatu tingkah laku menolong seharusnya akan membawa kepada perasaan gembira dan juga ganjaran-ganjaran intrinsik yang lain.

Dengan itu, cara yang paling ideal bagi pembimbing atau model untuk menanamkan tingkah laku prososial di kalangan kanak-kanak ialah dengan model itu sendiri menekankan norma-norma peribadi mengenai tanggungjawab sosial, bertindak menolong, dan seterusnya memberikan peneguhan pada tingkah laku ajukan kanak-kanak tersebut. Dengan kata lain sesuatu tingkah laku menolong yang telah dilakukan oleh kanak-kanak perlulah diberikan ganjaran, misalnya dalam bentuk pujian. Kadang kala seseorang kanak-kanak meniru tingkah laku menolong seperti yang dilakukan oleh pahlawan-pahlawan negara, misalnya Hang Tuah. Dengan menganugerahkan Pingat Hang Tuah kepada kanak-kanak yang menolong orang adalah satu bentuk ganjaran yang boleh menanamkan sikap untuk menolong orang lain dalam kalangan mereka. Teknik ini amat bersesuaian jika diaplikasikan dalam kaunseling kelompok untuk membantu individu yang mengalami masalah yang sama.

Kesimpulan

Tingkah laku prososial berkait rapat dengan kejujuran untuk menolong di mana sesuatu pertolongan itu dilakukan tanpa niat untuk mendapatkan balasan. Semangat seperti inilah yang perlu disemai dalam diri setiap individu khususnya sedari mereka kanak-kanak. Setiap individu juga harus menyedari tentang kebolehan dirinya untuk memberikan pertolongan sama ada pertolongan itu perlu atau tidak.

Dalam usaha mendorong manusia untuk menolong, mereka perlulah mempelajari teknik-teknik menolong agar pertolongan yang diberikan bersesuaian dengan keadaan, masa dan keperluan pada masa tersebut. Tidak semua keadaan dan tidak semua orang suka atau mahu menerima pertolongan lebih-lebih lagi jika pada masa tersebut pertolongan tidak dikehendaki. Pertolongan yang diberi mungkin akan disalah anggap dan boleh menimbulkan kemarahan.

Oleh yang demikian dalam memberikan pertolongan setiap individu perlu berhati-hati agar pertolongan yang diberikan dapat diterima dan tidak disalah anggap.


Bibliografi

Amato, P. R. (1983). Helping Behavior In Urban And Rural Settings: Fields Studies Based On A Taxonomic Organization of Helping Episodes. Jurnal of Personality and Social Psychology 45: 571-586.

Aziz, Y., Jaafar, S. L., Shahrin, H., dan Yusof, B. (2005). Psikologi Sosial : Alam Remaja. Kuala Lumpur : Pts Publications Sdn. Bhd.

Bandura, A. (1986). Social foundations of thought and action: A social cognitive theory. Englewood Cliffs, NJ: Prentice-Hall.

Baron, R. A. dan D. Byrne (1991). Social Psychology : Understanding Human Interaction.Boston: Allyn and Bacon, Inc.

Batson, Daniel C. (1998). "Altruism and Prosocial Behavior." In The Handbook of Social Psychology, 4th ed., edited by Daniel T. Gilbert, Susan T. Fiske, and Gardner Lindzey. New York: Oxford University Press,. ISBN:

Cunningham, M. R. (1979). Weather, Mood and Helping Behavior : Quasi Experiments With The Sunshine Samaritan. Jurnal of Personality and Social Psychology, 37: 1947-1956.

Eagly, A.H. (1987). Sex Different in Social Behaviour: A social psychological interpretation. Hillsdale, NJ:Erlbaum.

Eisenberg, N., & Mussen, P. (!989). The roots of prosocial behavior in children. Cambridge, England: Cambridge University Press.

Eisenberg, N. (1986). Altruistic emotion, cognition, and behavior. Hillsdale, NJ: Erlbaum.

Huston, T. L. (1981). Bystander Intervention Into Crime: A Study Based On Naturally Occuring Episodes. Social Psychology Quarterly.

Latena, B. dan J.M. Darley. (1970). The unresponsive bystander: Why doesn’t he help. New York: Appleton-Century-Crofts.

Ma’rof Redzuan. (2001). Psikologi Sosial. Serdang: Malindo Printers Sdn. Bhd.

Milgram, S. (1974). Obedience to authority. New York: Harper and Row.

Mohd Mahzan Musa (2001). Psikologi Sosial. Selangor Darul Ehsan: Utusan Publications Sdn. Bhd.

Sears, D. O. (1991). Social Psychology (7th Ed). Englewood Cliffs. NJ: Prentice Hall.

Steblay, N. M. (1987). Helping Behavior In Rural and Urban Environments: A Meta-analysis. Psychological Bulletin, 102: 346-356.

Wilson, E.O. (1978). On Human Nature. Cambridge, MA: Harvard University Press.

Kajian Kes

Latar belakang Kes

Sekolah M terletak di Bandar Kota Bharu, Kelantan yang mana beberapa tahun kebelakangan ini bandar ini begitu pesat membangun. Kepesatan pembangunan ini sedikit sebanyak telah memberi kesan yang ketara kepada pembangunan ekonomi bandar ini khususnya dan kepada negeri Kelantan amnya. Kepesatan pembangunan ini juga telah membawa bersama nilai-nilai moden ke dalam diri penduduk-penduduk dan rakyat sekitarnya dan telah meninggalkan nilai-nilai murni yang begitu dihargai oleh masyarakat timur khususnya masyarakat negeri ini. Keadaan ini boleh kita lihat kepada tingkah laku muda-mudi pada hari khusus dalam kalangan pelajar. Pelajar-pelajar pada hari ini semakin terhakis nilai budi bahasanya dan ini telah mendorong kepada kebejatan sosial yang berlaku dewasa ini yang semakin meruncing dan sekolah M juga tidak lari daripada keadaan ini.

Sikap dan tingkah laku pelajar sekolah ini lebih menjurus kepada sikap mementingkan diri sendiri dan tiada sikap ingin membantu sesama sendiri apatah lagi membantu guru-guru mereka. Budaya ini adalah satu budaya yang tidak sihat dan telah menimbulkan satu suasana yang tidak kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut.

Memandang kepada kesan yang tidak baik tersebut maka satu perbincangan telah diadakan dalam kalangan pentadbir sekolah dan guru-guru bagi mengatasi keadaan ini agar satu suasana dan budaya yang baik dapat diwujudkan dalam kalangan pelajar lebih-lebih lagi untuk mendidik pelajar supaya mempunyai kesedaran prososial yang tinggi. Perbincangan ini adalah atas inisiatif pengetua dan guru bimbingan dan kaunseling sekolah tersebut. Daripada hasil perbincangan tersebut maka kesimpulan telah dibuat bahawa pelajar-pelajar sekolah tersebut tiada ada modeling yang boleh mereka ikut dalam membentuk sikap mereka yang lebih ringan tulang dan suka membantu orang lain atas kerelaan mereka sendiri. Oleh itu satu model telah dibentuk hasil perbincangan tersebut.

Pendekatan dan Langkah-langkah yang digunakan

Hasil perbincangan tersebut beberapa pendekatan telah digunakan berdasarkan Pendekatan Teori Tingkahlaku yang dipelopori oleh B. F. Skinner. Dalam teori tersebut menyatakan dalam mengubah sikap perlu ada modeling yang boleh diikuti. Oleh itu berikut adalah langkah yang telah dijalankan.

  1. Bagi mewujudkan model tersebut Guru bimbingan dan kaunseling sekolah tersebut telah mengambil para pengawas sebagai model.
  2. Pengawas-pengawas tersebut diberi peranan untuk menunjuk dan mengamalkan sikap dan budaya menolong. Pada peringkat awal pengawas-pengawas dikehendaki membantu guru-guru dengan membawa barang guru-guru dan sebagainya yang dirasakan guru-guru boleh dibantu.
  3. Proses ini berjalan selama beberapa bulan dan ianya masih belum mendapat hasil yang memuaskan. Namun pendekatan tersebut masih diteruskan.
  4. Langkah seterus yang diambil oleh pihak sekolah ialah memperkenalkan anugerah tokoh pelajar pada setiap bulan. Anugerah ini diberi kepada pelajar-pelajar yang bersikap mulia dan banyak menghulurkan bantuan kepada guru-guru. Anugerah ini adalah merupakan ganjaran kepada pelajar-pelajar yang telah menunjukkan sikap yang baik. Pendekatan ini juga ada dalam Teori Tingkahlaku iaitu dalam pembentukan sikap yang positif ia akan diperkuatkan dengan faktor ganjaran.
  5. Proses ini berterusan selama hampir 1 tahun setengah dan pada ketika itu telah mula menampakkan kesan yang positif. Semakin ramai pelajar yang telah mula mempamerkan sikap menolong guru-guru di sekolah tanpa perlu disuruh.
  6. Setelah hampir 3 tahun pendekatan tersebut dilaksanakan suasana dan budaya sekolah tersebut telah berubah dengan begitu mendadak. Pelajar-pelajar yang ada di sekolah tersebut telah menunjukkan sikap menolong yang terlalu tinggi sehinggakan jika ada tetamu yang tidak dikenali hadir ke sekolah tersebut juga turut diberikan bantuan.
  7. Hasil ini begitu menakjubkan sehinggakan sekolah tersebut telah menjadi antara sekolah yang terbaik dari segi pencapaian akademik dan juga dari segi sahsiah dan sikap pelajar.

1 comment: