Sunday, June 14, 2009

ETIKA DAN LEGAL ISU DALAM KAUNSELING KELOMPOK

1- PENGENALAN KAUNSELING KELOMPOK

Kaunseling Kelompok adalah satu proses antara individu (interpersonal process) yang melibatkan seorang kaunselor dengan beberapa orang ahli atau klien yang meneroka diri serta situasi yang dialami. Jadi proses ini menekankan pemikiran yang sedar, dari segi perasaan dan kelakuan. Tujuan kaunseling kelompok ini adalah untuk memperbaiki tingkah laku klien yang tidak mengikut norma-norma kehidupan yang tidak berkesan atau tidak mendatangkan faedah. Mengikut Corey (1990), kaunseling kelompok bertujuan mencegah serta memulih . Hansen et. al (1976), tujuan mencegah klien dari mengulangi tingkahlaku yang tidak diingini daripada berterusan. Dapat mengatasi masalah yang dihadapi sebelum masalah tersebut menjadi “serius”. Tujuan memulih pula adalah bagi klien yang sedang mengalami masalah yang “serius” di mana kaunseling kelompok merupakan satu proses intervensi untuk menukar kelakuan .
Kaunseling kelompok berorientasikan masalah yang spesifik, sama ada masalah itu masalah pembelajaran, kerjaya, sosial atau emosi. Isi dan fokus perbincangan dalam kelompok sebahagain besarnya ditentukan oleh klien yang terdiri daripada individu yang normal (dapat berfungsi dengan sepenuhnya). Masalah-masalah yang sering di bawa ke dalam kelompok ialah berkaitan dengan tugas perkembangan dalam hidup seharian. Fungsi kaunseling kelompok ini serta klien adalah memberi sokongan dan empati yang diperlukan untuk menimbulkan suasana yang selamat dan menyembuh yang membawa kepada kepercayaan ahli berkongsi maklumat dan perasaan ke arah menimbulkan celik akal, membaiki sikap serta perlakuan.

Teori–teori kaunseling kelompok adalah “guidelines” yang digunakan supaya proses kaunseling yang dijalankan mendatangkan hasil yang baik atau efektif. Hansen et al (1976), “ each theory proposes a process whereby the counselor and group can participate in the process of changing the member’s behavior”.Dalam menjalankan sesi, kaunselor perlulah mematuhi beberapa etika demi matlamat yang hendak dicapai.

2- DEFINISI ETIKA KAUNSELING KELOMPOK


Etika berasal daripada perkataan Yunani, iaitu ethos yang bermaksud hukum, adat resam, kebiasaan dan budi pekerti. Dengan kata lain etika merupakan sesuatu yang berkaitan dengan peraturan masyarakat yang terdiri dari tatahukum, tatasusila atau tatatertib masyarakat. Peraturan masyarakat biasa juga dimaksudkan dengan tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kod, nilai dan pantang larang masyarakat. Peraturan masyarakat wujud di luar diri individu. Peraturan itu juga bersifat konkrit serta ditetapkan oleh autoriti dalam sesebuah masyarakat.

Menurut Kamus Dewan DBP (Edisi Ketiga, 2002), etika adalah prinsip atau nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang atau dengan kata lain garis panduan yang harus dipatuhi oleh seseorang semasa menjalankan tugas mereka.

Etika (dalam Abdul Rahman Md. Aroff, 1999) adalah disiplin falsafah yang memberi perhatian khusus kepada penilaian kritikal terhadap norma dan piawai yang mewajarkan kelakuan persaorangan serta antara individu. Durkheim (1961) pula menyatakan bahawa etika terdiri daripada suatu sistem peraturan yang telah ditentukan terlebih dahulu tentang bagaimana seseorang itu mesti bertindak dalam situasi tertentu.

Etika adalah suatu tindakan yang menuntut kepatuhan terhadap piawaian profesional serta undang-undang tentang apa yang dianggap betul dan yang salah. Menurut Othman Mohamed (1999), kod etika merupakan tatasusila yang menentukan peraturan kawalan diri terhadap praktis yang dijalankan oleh ahli sesuatu profesion. Ianya merupakan standard asas bagi mencerminkan satu praktis profesional.

Etika juga boleh membawa maksud yang berlainan tetapi saling berhubungan di antara satu dengan yang lain, iaitu ;
1) pola hidup am atau suatu cara hidup
2) set peraturan tingkah laku atau kod moral
3) tatacara mengenai cara hidup atau peraturan tingkah laku.
Daripada beberapa definisi di atas, dapatlah disimpulkan bahawa etika mengkaji tingkah laku manusia sama ada patut atau tidak manusia bertingkah laku (bagaimana seharusnya manusia bertingkah laku). Etika melibatkan peraturan masyarakat yang didasarkan norma-norma dan nilai-nilai yang baik di dalam sesebuah masyarakat itu. Oleh itu mematuhi kod etika dianggap penting bai membantu membuat keputusan dalam pengendalian kelompok.

3- KEPENTINGAN ETIKA KAUNSELING KELOMPOK

Setiap profesion yang melibatkan interaksi antara individu, memerlukan satu bentuk peraturan atau etika yang tersendiri bagi keperluan ahli-ahlinya. Begitu juga di dalam kaunseling kelompok, etika memainkan peranan yang penting sebagai satu garis panduan atau peraturan untuk menjaga profesionalisma kaunselor, kepentingan ahli kelompok serta perjalanan kelompok itu sendiri.

Pandangan yang diberikan oleh Swanson & Van Hoose (1977) yang menyatakan, “Standard or code of ethics are designed to protect the public and also to give guidelines to practitioner so that difficulty with the law may be avoided by the person who follow the profesion’s code”, menguatkan lagi fakta di atas.


Di antara-antara kepentingan-kepentingan itu ialah;

1) memberi perlindungan kepada ahli dalam profesion kaunseling daripada sebarang tindakan yang boleh menyebabkan “ public condemnation”( penghinaan masyarakat).

2) Memberi perlindungan kepada klien daripada sebarang tindakan atau layanan yang tidak profesional, atau kecuaian pihak kaunselor.

3) Sebagai pengukur kepada “self-regulation” dalam profesion itu sendiri.

4) Melindungi kaunselor daripada tindakan undang-undang sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini bukan disebabkan oleh kesalahan kaunselor itu sendiri.

5) Mempertingkatkan keberkesanan diri melalui perkongsian pengetahuan dan kemahiran selaras dengan tuntutan dan kesedaran pihak klien berkaitan hak mereka dalam undang-undang.





4- ETIKA DALAM KAUNSELING KELOMPOK
4.1- Pandangan Tokoh-Tokoh:

Etika kelompok diolah mengikut keperluan sesuatu kelompok. Menurut Gazda (1977), adalah penting bagi ketua kelompok untuk mengolah satu model bagi mencapai perubahan tingkah laku. Tambah beliau lagi, bila sesi dirakamkan ahli patut diberitahu yang mereka boleh memberhentikan rakaman bila-bila masa jika mereka merasakan ini menyekat penglibatan mereka.

Bagi Feignberg (1977) pula, etika dalam kaunseling kelompok di mana ketua kelompok harus mempunyai latihan yang cukup dalam teori dan prosedur kelompok. Mereka juga harus sedar tentang kepelbagaian kesan yang mungkin timbul daripada prosedur dan proses kelompok.

Memberikan pandangannya, Bindrim (1977) menyatakan menjadi satu polisi yang wajar jika ketua meminta ahli menandatangani satu perjanjian yang memerlukan mereka bersetuju supaya tidak berbincang atau menulis tentang perkara-perkara yang berlaku dalam kelompok atau mendedahkan identiti ahli lain.




4.2- Kelayakan Pemimpin Kelompok:

Pemimpin kelompok mestilah mempunyai kelayakan profesional serta pengalaman yang diperlukan sesuai mengikut kelompok yang mereka pimpin. Pemimpin seharusnya seorang yang teraputik, cekap dan berkesan serta bersedia untuk dicabar dan diuji untuk mendapatkan kepercayaan.

Pemimpin kelompok juga mesti mempunyai fokus yang jelas terhadap tujuan dan matlamat kelompok, memilih kaedah-kaedah yang sesuai dan mampu mengendalikan aktiviti-aktiviti sepanjang perjalanan kelompok bagi mencapai tujuan dan matlamat sesuatu kelompok itu.

Pemimpin kelompok mestilah bijak mengendalikan kelompok. Seandainya terdapat sebarang bentuk pertentangan di dalam kelompok, contohnya desakan kelompok yang bercanggah dengan kehendak ahli-ahl lain, pemimpin perlulah peka dan bertindak bijak mengatasi isu tersebut. Seandainya ada ahli yang menjadi sasaran di dalam kelompok, pemimpin haruslah berani campur tangan.

Sebagai pemimpin kelompok, perlulah turut melakukan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh ahli-ahli kelompok sebagai sokongan kepada kelompok untuk melakukan perkara itu dengan penuh yakin dan berani. Pemimpin juga harus faham tentang nilai-nilai dalam kelompok dan sedar bahawa nilai-nilai itu adalah selaras dengan etika profesionnya.
Etika dalam kaunseling kelompok juga melibatkan tanggungjawab yang dituntut daripada seorang ahli profesional seperti kaunselor atau pemimpin kepada kelompok yang spesifik seperti orang-orang yang memerlukan bantuan atau sesuatu khidmat dari pemimpin tersebut. Menjadi tanggungjawab pemimpin kelompok untuk memaklumkan kepada bakal ahli kelompok tentang prosedur dan matlamat kelompok, peraturan kelompok, teknik-teknik yang akan digunakan, harapan ahli, risiko psikologikal dan faktor lain yang boleh mempengaruhi mereka dalam membuat keputusan untuk melibatkan diri dengan kelompok.

Ahli kelompok seharusnya bersedia mentafsirkan pembelajaran mereka dalam kelompok dengan kehidupan seharian mereka dan menggunakannya dengan berkesan. Jesteru itu etika kaunseling kelompok berkait rapat dengan prinsip-prinsip akhlak dan moral yang perlu ada pada kaunselor semasa sesi kaunseling dijalankan. Semasa sesi perjanjian dijalankan satu perjanjian bertulis perlu dimenterai antara ahli dengan kaunselor. Prosedur ini penting kerana melindungi hak-hak ahli dan juga kaunselor.

Pemimpin kelompok seharusnya berusaha menggendalikan sesi kelompok dan seterusnya menilai kesan bagi kelompok pimpinannya. Proses susulan di dalam kelompok adalah penting kerana ia merupakan satu aspek akauntabiliti pemimpin kelompok. Melalui proses ini juga akan mendorong ahli kelompok untuk meneruskan tingkah laku positif yang mereka pelajari dalam kelompok setelah mengetahui adanya proses susulan setelah tamat sesi kelompok.

Akhirnya, pemimpin kelompok perlu berwaspada dengan tanda-tanda kelemahan psikologikal ahli kelompok seperti ahli menangis sepanjang masa berada di dalam kelompok, ahli seperti dalam keadaan celaru serta tertekan (berada dalam dunianya yang tersendiri), ahli berdiam diri sepanjang masa dalam kelompok dan tanda-tanda psikologikal lain. Ini menandakan penglibatan mereka di dalam kelompok harus di tamatkan.

Adalah tidak beretika mengamalkan kaunseling tanpa persediaan yang rapi American Group Psychotherapy Association dan Association for Specialists in Group Work (ASGW), menggariskan secara terperinci, piawaian terbaik bagi latihan yang diperlukan oleh kaunselor.

4.3- Kerahsiaan:

Kerahsiaan merupakan salah satu etika di dalam kelompok yang perlu dititikberatkan. Ahli-ahli perlu mendapat makluman tentang kerahsiaan di dalam kelompok, seawal waktu penstrukturan, semasa sesi berjalan dan apabila kelompok berakhir. Maklumat kelompok tidak akan diberitahu kepada mana-mana pihak melainkan setelah mendapat kebenaran dan persetujuan kelompok demi kebaikan kelompok sendiri.

Selain daripada itu identiti setiap ahli dalam kelompok hendaklah dirahsiakan dan menjadi tanggungjawab ke atas semua ahli (Kod Etika Kaunselor, 2005)

5- ISU-ISU DALAM KAUNSELING KELOMPOK

Proses kaunseling kelompok akan menjadi lebih bermakna dan sangat berkesan sekiranya proses tersebut dapat berjalan mengikut nilai, norma dan tingkah laku yang diterima dalam persekitaran masyarakat. Peterson (1970). Satu Sistem etika adalah menjadi panduan berdasarkan nilai-nilai yang biasa dipegang dan dihargai oleh masyarakat. Kaunseling kelompok juga dapat membantu ahli mencapai matlamat dan tujuan yang telah digariskan bersama dengan ahli kelompok dalam menentukan hala tuju dan matlamat yang hendak dicapai dalam persetujuan bersama.

Namun walaubagaimanapun terdapat halangan-halangan yang menyebabkan proses ini tidak dapat dilaksanakan seperti yang diharapkan. Ini adalah disebabkan isu-isu yang wujud dalam kaunseling kelompok yang boleh memberi kesan yang buruk atau pengalaman yang ngeri terhadap ahli sekaligus mencemar nilai kepercayaan dan penerimaan ahli terhadap kaunseling kelompok.

Selain itu juga isu-isu yang wujud dalam kaunseling kelompok akan memberi kesan yang lebih mendalam kerana bukan seorang ahli yang akan mengalami trauma atau tekanan tetapi ramai, kerana jumlah ahli dalam kelompok adalah lebih daripada satu. Maka sudah tentu akan memburukkan lagi pandangan masyarakat terhadap kaunseling kelompok serta menghilangkan nilai kepercayaan masyarakat terhadap kaunseling kelompok.

5.1- Pemimpin Kelompok:

Antara isu-isu yang terdapat dalam kelompok ialah isu melibatkan kepimpinan. Isu ini secara keseluruhannya melibatkan tahap kredibiliti yang dimiliki oleh pemimpin atau kaunselor yang bertindak sebagai ketua atau penggerak utama dalam proses kaunseling kelompok. Tidak kira apa jenis kelompok yang dipimpin, apa pendekatan yang digunakan atau apa gaya kepimpinan yang dilaksanakan dalam kaunseling kelompok, kejayaan kelompok sangat bergantung kepada pemimpin yang mengetuai kelompok tersebut.

Terdapat pelbagai permasalahan atau persoalan yang ditimbulkan tentang pemimipin kelompok sama ada dari segi latihan yang diperoleh, kelayakan yang dimiliki, kecekapan dan pengalaman pemimpin dalam menerajui sesuatu kelompok. Disamping itu juga isu kepimpinan ini mengukur tahap kemampuan pemimpin dalam menguasai masalah yang diketengahkan dalam kelompok.

Ini antara isu yang dikaitkan dengan pemimpin dalam kelompok. Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin dalam memimpin ahli kelompok mencapai matlamat yang telah dipersetujui bersama tanpa wujud perkara yang bercanggah dengan nilai dan norma persekitaran masyarakat. Rosenbaum (1972). Bakal ketua perlu diberitahu tentang beberapa jenis kelompok dalam proses pengajaran yang formal dan perlu mendapat peluang untuk mengolah teori sendiri yang rasional dan praktikal.

5.2- Keahlian Kelompok:

Selain itu juga isu keahlian dalam kelompok merupakan sesuatu yang perlu dititi beratkan. Ini kerana kejayaan kelompok dalam mencapai matlamatnya sangat bergantung kepada ahli-ahli yang terlibat dalam sesuatu kelompok. Ini menunjukkan pemilihan ahli dalam kelompok mestilah mengikut klasifikasi jenis kelompok yang hendak dilaksanakan dan kaedah kepimpinan yang akan digunakan oleh pemimpin dalam mengendalikan kelompok tersebut.

Bagi menentukan pemilihan ahli kelompok adakah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk membuat pemilihan ahli kelompok. Tidak kira apa jenis kelompok yang hendak ditubuhkan, pemilihan ahli mesti mengikut klasifikasi jenis kelompok yang hendak dikendalikan oleh pemimpin . The American Psychological Association (APA) dalam Guidelines for Psychologists Conducting Growth Group (1973) mencadangkan “Satu temu bual menapis peserta harus dijalankan oleh ketua kelompok sebelum individu diterima menjadi ahli. Adalah menjadi tanggungjawab ketua menapis dan menolak mereka yang memikirkan bahawa pengalaman kelompok tidak sesuai bagi mereka”. Cadangan ini dipersetujui oleh Gazda (1977) dan menambah, proses menapis patut diolah untuk memastikan peserta faham apa yang diharapkan daripada mereka dan menerima yang mungkin menikmati faedah yang lebih daripada pengalaman kelompok. Yalom (1975) menyatakan, jika penapisan pemilihan ahli kelompok tidak dijalankan dengan teliti, ahli itu boleh meninggalkan kelompok dengan perasaan hampa dan tawar hati. Yalom menerangkan bahawa lebih mudah mengenal pasti individu yang sesuai.

Maka jelas tanggungjawab terhadap ketua untuk memilih ahli bagi sesuatu penubuhan sesuatu kelompok bertujuan mengelakkan berlakunya konflik sesama ahli menyebabkan proses atau sesi tidak dapat dijalankan dan wujud gangguan-gangguan yang menyebabkan timbulnya isu dalam kelompok sekaligus menyekat proses kelompok. Ahli juga perlu dinyatakan kenapa dan mengapa pemilihan ahli perlu dilakukan sebelum kelompok ditubuhkan.

5.3- Kerahsiaan Kelompok:

Kerahsiaan merupakan faktor yang perlu dititikberatkan dan perlu diberi penjelasan yang terperinci atau mendalam kepada ahli kelompok semasa peringkat penstrukturan dilakukan. Ini kerana kerahsiaan dalam kaunseling kelompok sangat sukar untuk dikawal kerana jumlah ahli yang ramai, sudah tentunya pemimpin tidak dapat memberi jaminan terhadap kerahsiaan dalam pelaksanaan kelompok. Olsen (1971) menyatakan “Ketua kelompok boleh menjamin kerahsiaan untuk dirinya sahaja, dia mesti memberitahu ahli tentang tanggungjawab mereka menghormati rahsia yang telah dibincangkan. Dia juga harus menyedarkan ahli bahawa dia tidak boleh menjamin kerahsiaan ahli lain dalam hal ini.”

Isu kerahsiaan ini sangat sensitif, oleh itu pemimpin perlu membincangkan secara khusus kepada ahli tentang kerahsiaan yang perlu dititikberatkan dan perlu jujur untuk tidak berlakunya kebocoran hal-hal peribadi, hal-hal yang sensitif mengenai seseorang ahli dalam kelompok. Disarankan kepada pemimpin setiap kali berakhir pertemuan ataupun sesi, pemimpin perlu memberi penegasan atau penekanan terhadap ahli tentang prinsip kerahsiaan dalam kelompok.

Corey, Corey dan Callanan (1984). Bagi kaunselor walaupun aspek kerahsiaan ini telah diberitahu pada awal kelompok, adalah menjadi tanggungjawab kaunselor untuk mengingatkan ahli tentang prinsip kerahsiaan ini dari masa ke semasa.



5.4- Penilaian Kelompok

Isu yang ada dalam kaunseling kelompok ialah penilaian dan tindakan susulan Pemimpin perlu memberi penekanan terhadap tindakan susulan selepas tamat sesi kaunseling kelompok. Pemimpin boleh melaksanakan tindakan susulan ini selepas sebulan atau tiga bulan selepas sesi tamat. Ini bertujuan untuk membincangkan tentang kesan kaunseling kelompok dan hasil yang diperoleh dalam kelompok. Melalui sesi susulan ini pemimpin dapat gambaran yang sebenar dan dapat melihat sendiri sama ada ahli-ahli dapat menggunakan pengalaman dan pengajaran yang dilalui dalam kelompok. Selain itu juga ahli dapat meluah serta berkongsi pengalaman yang telah dilalui untuk sama-sama mendapat maklum balas dan pengukuhan selepas meninggalkan sesi kelompok.

Tempoh ini ahli digalakkan membuat pendedahan kendiri yang mendalam. Namun menjadi tanggungjawab pemimpin untuk mengajar dan menerangkan kaedah pendedahan kendiri yang perlu dilakukan oleh ahli. Pemimpin jangan terlalu mendesak untuk ahli mendedahkan hal-hal yang agak sulit sebelum mereka bersedia. Jika tidak ahli akan menarik diri dengan perasaan malu kerana telah menceritakan lebih dari yang sepatutnya.






6- CONTOH-CONTOH KES


Kes 1:

Olympia-Jabatan Kesihatan menahan seorang kaunselor Preston Carbery yang memiliki ‘license of Mental Health’(CLH 00006880) di atas kesalahan melakukan hubungan seksual semasa mengendalikan kaunseling. Carbery disabitkan kesalahan pada 7 September 2005 di Steven County Supervisor Court dengan melakukan 3 kali perkosaan ke atas kliennya. Carbery didapati tidak dapat menjadi seorang kaunselor yang baik, dan beliau yang masih mempunyai kontrak dengan Jabatan Perkhidmatan Sosial dan Kesihatan yang menyediakan perkhidmatan kaunseling kesihatan kepada kliennya.

Tuduhan ini menyatakan Carbery terlibat dengan hubungan seksual dengan dua orang klien perempuan semasa mengadakan perkihmatan kaunseling. Carbery juga didapati bersalah kerana cuba menakutkan kliennya dengan mengugut sekiranya kejadian tersebut dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Sosial, Carbery akan mengancam anak-anak kliennya. Carbery mempunyai 20 hari untuk memberikan maklum balas di atas tuduhan tersebut.

Daripada kes tersebut, didapati kaunselor telah menyalahi etikanya sebagai seorang kaunselor yang bertauliah kerana merujuk kepada Kod Etika Kaunselor 2005, batasan seksual , bukan sahaja bersifat fizikal tetapi juga melibatkan pertuturan. Contohnya, kaunselor dilarang menggunakan ayat-ayat yang berbaur lucah. Justeru itu, gangguan seksual akan menyebabkan ahli-ahli kelompok tidak selamat dan kebolehpercayaannya terhadap kaunselor tergugat.

Kes 2:

Seorang kaunselor pembimbing didapati bersalah kerana mengadakan seks dengan kliennya yang berusia 16 tahun. Jenniffer Villacrusis disabitkan kesalahan minggu lepas, kerana menyalahgunakan kuasanya sebagai kaunselor dan secara tidak langsung melanggar etika seorang kaunselor. Menurut laporan polis, beliau dan pelajar melakukan kesalahan tersebut di pejabatnya,Hugesville Junior High School dan di rumah kediamannya. East Lycony School Superintendent Dave Price, mengesahkan Villacrusis telah digantung bekerja pada hari Selasa, dan kes ini akan didengar pada 22 Januari di bilik mesyuarat. Ahli mesyuarat akan membuat keputusan sama ada beliau akan terus atau berhenti daripada kerjaya sebagai seorang kaunselor. Polis turut mengesahkan satu penyiasatan terhadap remaja tersebut terpaksa ditangguhkan kerana Villacrusis tidak memberikan kerjasama. Penyiasatan ini bermula minggu lepas selepas Villacrusis mendapatkan perkhidmatan hospital dan memberitahu kepada seorang jururawat bahawa dia telah dirogol dan tidak mahu membuat laporan polis.



Kes 3:

Olympia- Jabatan Kesihatan Negeri Washington telah menahan James F. Durham seorang kaunselor yang juga mempunyai banyak kepakaran professional dalam mengendalikan bahan kimia . Beliau ditahan diatas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan penyalahgunaan dadah. Tindakan disiplin dikenali sebagai ‘pergantungan tanpa perbincangan’bermaksud Durham yang mempunyai sijil CP 828 dan berdaftar sebagai RC11842, didapati tidak dibenarkan bekerja sebagai seorang kaunselor dan juga pakar mengendalikan bahan kimia sehinggalah kes beliau dibicarakan semula.

Durham mempunyai 20 hari untuk memberikan respond diatas tuduhan tersebut. Durham ditahan di atas berurusan dengan kumpulan kecil untuk tujuan yang tidak bermoral pada 3 June 2001.Perbicaraan beliau dijadualkan pada 18 Oktober 2001. sebelum ini Durham didapati banyak melakukan perbuatan tidak bermoral dan masih berhubungan dengan pesalah-pesalah juvana untuk urusan peribadi. Penyiasat yang ditugaskan daripada Jabatan Kesihatan mendapati Durham gagal menunjukkan kesalahan jenayah di kawasan Yakima dan King. semasa permohananya sebagai pakar penggunaan bahan kimia . Rekod jenayah Durham sebelum ini mengandungi rompakan berbahaya pada tahun 1978 dan kejadian jenayah kredibilitinya pada Mac 2000.

Merujuk kepada kes ini pula, kaunselor didapati melanggar etika serta menghilangkan kepercayaan kelompok terhadap kewibawaan kaunselor. Oleh itu. Dengan tertubuhnya, Akta Kaunselor 580 pada tahun 1998, dengan ini mengesahkan bahawa sebarang salahlaku , maka secara automatiknya, jawatan kaunselor akan digantung sehinggalah kes tersebut dibicarakan.

Kesimpulan daripada kes-kes di atas, dapat mengukuhkan lagi bahawa wujud isu-isu yang berlaku dalam kaunseling kelompok yang mengganggu proses ataupun sesi dari berjalan dengan lancar mengikut kaedah yang sebenarnya. Namun isu-isu ini dapat dielakkan jika pemimpin yang mengendalikan kelompok mempunyai etika yang telus.












7- PENUTUP

Seorang kaunselor kelompok akan dihadapi dengan maklumat yang banyak, hasil dari proses berkelompok. Ia memerlukan satu rangka untuk menyusun maklumat tersebut supaya membawa makna yang senang difahami, untuk membantu ahli menangani masalah yang di hadapi. Dengan itu, teori akan membantu kaunselor menyusun, memahami, melihat perkembangan proses kaunseling supaya dapat mencapai matlamat yang ditujui.

Selain itu, kaunseling kelompok dapat membentuk peluang-peluang keemasan yang berlanjutan kepada klien bagi memperkembangan hubungan biasa dan positif dengan orang lain, Secara tidak langsung akan memberi kesedaran kepada ahli-ahli kelompok. Jesteru itu mematuhi etika amat penting dalam setiap kaunseling kelompok yang dijalankan. Etika akan membantu proses kaunseling kelompok itu sama ada berjalan lancar atau tidak. Mematuhi etika sedikit sebanyak akan mengurangkan isu-isu yang akan timbul dalam kaunseling kelompok nanti.

Dengan tertubuhnya Akta Kaunselor 580 pada tahun 1998 dan sebuah Lembaga Kebangsaan ia dapat mengawal dan menyelia amalan kaunseling di Malaysia. Ini sekaligus dapat meningkatkan taraf profesional kaunseling di Malaysia.

8- BIBLIOGRAFI

Corey, G,. (1990). Theory and Practice of Group Counseling, Brooks/Cole Publishing Company, Pacific Grove, California.

Douglas, T. (1991). A Hand Book of Common Group Work Problems, Tavistock/Routledge, London and new York.

Gazda, M.G, (Editor). 1982. Basic Approaches to Group Psychotherapy and Group Counseling. Chales C Thomas, USA.

Gazda, M.G, (1976). Theories and Methods of Group Counseling in The Schools. Chales C Thomas, USA.

Ida Hartina Ahmed Tharbe. (2006). Memimpin Kaunseling Kelompok. Kuala Lumpur. PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang, (2002). Bimbingan dan Kaunseling Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 3&4. Subang Jaya Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Muhd. Mansur Abdullah, (2000), Kaunseling Teori, Proses dan Kaedah. Petaling Jaya. Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Muhd. Mansur Abdullah & Siti Nordinar Mohd Tamin, (1996). Pengantar Kaunseling. Kuala Lumpur: DBP.

Mohamad Fadzil Che Din & Rashidah Omar. (2002). Pengantar Bimbingan dan Kaunseling. Mc Graw-Hill Education: Kuala Lumpur.

Nordin Kardi & Mohamad Fadzil Che Din. (2003). Falsafah, Prinsip & Etika Kaunseling: UPM. Selangor.

Othman Mohamad. (2000). Prinsip Psikoterapi dan Pengurusan dalam Kaunseling. UPM: Serdang. Selangor.

Ramlan Hamzah, Lily Mastura Harun, PHD (2006). Bimbingan dan Kaunseling Untuk Pra Sarjana Muda dan KPLI. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Shaffer, John B. P, and Galinsky, M. David (1989). Models of Group Therapy, Prentice Hall, Eagle Wood Cliffs, New Jersey.

The News Station, Guidance Counselor suspended daripada http://www.wnep.com/Global/story.asp?S=5881320

Washington State Department of Health, Stevens County counselor charged with sexual misconduct and suspended daripada http://www.doh.gov/publicat/2005- news/05-140.htm.

Washington State Department of Health, State suspends Yakima County for corruption and drug abuse. daripada http://www.doh.gov/publicat/2001- news/01-106.htm

Zuraidah Abd. Rahman, (2004). Pengenalan Kaunseling Kelompok. Selangor. IBS Buku Sdn. Bhd.

4 comments:

  1. APAKAH KEBAIKAN DAN KEBURUKAN PENYERTAAN AHLI KELOMPOK SECARA SUKARELA DAN TIDAK RELA DALAM KELOMPOK?

    ReplyDelete
  2. apakh rasionalnya etika professional sangat ditekankn dlm pkhdmtn kaunseling dan cth pelanggaran etika yg kerap dlakukn & cdgkn kaedah mengatasi..

    ReplyDelete
  3. apakah perkara2 yang perlu diberi perhatian sebelum sesi pertama kaunseling kelompok?

    ReplyDelete
  4. Beberapa masalah kelompok terdapat pada tahap penubuhan kelompok dan tahap-tahap perkembangan kelompok selanjutnya. Sesetengah daripada masalah ini adalah berkaitan dengan ahli dan sesetengahnya pula berkaitan dengan proses kelompok. Jelaskan bagaimana ketua kelompok mengatasi masalah ini.

    ReplyDelete